Christie Jayaseelan

Oleh Muhammad Aiman

Jika melihat kepada persiapan serta senarai pemain yang akan memperkuatkan pasukan, Pahang sudah tentunya antara yang perlu diberi tumpuan malah layak dilabel sebagai pencabar utama juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Takzim bagi saingan musim baru Liga Malaysia, selain Melaka dan Perak.

Hanya semusim bergelut di zon penyingkiran, Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) jelas tidak mahu kemelut prestasi pasukan itu berpanjangan dan tampil aktif merekrut nama-nama berprofil tinggi arena bolasepak tempatan bagi mengembalikan reputasi mereka selaku pasukan elit.

Begitupun, bagi ketua jurulatih Dollah Salleh, ia bukan satu tugas mudah untuk mengulangi apa yang pernah dilakukannya ketika membimbing skuad tok gajah sebelum ini dari 2009 – 2013 apabila dia membawa pasukan itu menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 21 tahun pada 2013.     

“Saya kembali semula ke Pahang untuk menyahut cabaran membentuk sebuah pasukan mantap tetapi sudah tentunya ia akan mengambil masa tetapi dengan pemain-pemain berkualiti yang kita bawa masuk, saya rasa tidak mustahil kita akan dapat kembali ke tahap sepertimana 213 dan 2014.

“Sukar untuk membuat sebarang andaian mengenai apa yang boleh dijangka pada musim depan kerana fokus saya buat masa ini adalah menyiapkan Pahang sebaik mungkin untuk beri saingan. Ada ramai wajah-wajah baru dalam pasukan, adalah penting untuk membentuk persefahaman dan keserasian di kalangan mereka. Ianya bukan mudah tetapi dengan pengalaman luas yang pemain-pemain ini miliki, saya percaya ia boleh dilakukan,” kata Dollah.

Dollah meninggalkan Pahang selepas berakhir musim 2013 bagi menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kejayaan membawa pasukan itu muncul juara Liga Premier 2014 menyaksikannya dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia.

Setelah berundur sebagai jurulatih kebangsaan ekoran kekalahan memalukan 0-10 kepada UAE, Dollah berehat seketika dari arena bolasepak dan kembali sebagai jurulatih Perlis tahun ini namun sekadar mengharungi musim ala kadar bersama pasukan itu.

Manakala Pahang pula, mengharungi musim yang mengecewakan pada 2016 setelah bergelut di zon penyingkiran hampir keseluruhan musim dan hanya terselamat untuk terus kekal di Liga Super pada minggu terakhir liga selepas melalui empat perlawanan tanpa tewas, selain dibantu tiga mata percuma yang dihadiahkan Persatuan Bolasepak Malaysia.

“Penyokong mempunyai ekspetasi tinggi terhadap pasukan ini dan mereka mahu melihat kita tampil lebih kuat dan berbeza berbanding musim lalu. Ia tanggungjawab berat namun saya menjadikannya satu cabaran untuk mengubah nasib pasukan ini,” ujar Dollah lagi.

Pahang setakat ini masih berahsia mengenai senarai pemain-pemain yang akan menyarung jersi mereka tahun depan namun dikhabarkan telah menandatangani 10 pemain tempatan dan menggantikan kesemua empat pemain import, dengan dua daripadanya sudah diisi.

Antara pemain baru memperkuatkan Pahang adalah empat pemain dari Terengganu – Nordin Alias, Ashaari Samsudin, Joseph Kalang Tie (gambar utama) dan Zubir Azmi, dua pemain Kelantan Muslim Ahmad dan Wan Zaharulnizam Zakaria, Afif Amiruddin dan Mohamadou Sumareh dari Perlis manakala Ahmad Syamim Yahya dan Christie Jayaseelan memilih meninggalkan Felda United untuk menyertai revolusi Pahang.

- Advertisement -