Oleh Ku Mohd Lufti

Pelumba Terengganu Pro Asia Cycling (TSG) Shahrul Mat Amin mengungguli Grand Final Cabaran Berbasikal Felda 2016 untuk membawa pulang wang tunai RM 10 ribu ringgit.

Shahrul muncul juara keseluruhan selepas mengumpul mata tertinggi dalam lima sirkit kejohanan tersebut.

Tatkala saingan terarah kepada pakar pecut negara, Mohd Harrif Saleh, Shahrul Mat Amin membuktikan kemampuannya di perlumbaan terakhir dengan jarak 142 Kilometer apabila menamatkan saingan ditempat pertama dengan catatan masa 3 jam 13 minit 31 saat.

“Dari mula perlumbaan sampai habis tiada laluan yang landai. Keadaan berbukit bukau dan ada yang tinggi.

Jadi jika nak tamatkan 140 kilometer kali ini memang berbeza dengan jarak yang sama tetapi laluan landai kerana laluan kali ini banyak beza,” kata Mohd Shahrul.

Beliau juga melihat kejohanan Cabaran Berbasikal FELDA boleh dijadikan sebagai salah satu platform untuk mencungkil bakat baru dalam sukan berbasikal.

Dari kaca mata penganjur bersama, Life ProFit, Noraidiazhar Sulaiman, siri akan datang akan ditambah baik khususnya jarak perlumbaan kerana ia antara permintaan daripada pelumba.

“Perancangan untuk edisi ke dua kita menitikberatkan kepada jarak perlumbaan memandangkan untuk edisi tahun ini, kita cuma mensasarkan jarak kejohanan sejauh 120 kilometer atas permintaan pelumba-pelumba amatur dan professional kita tambahkan jarak sejauh 160 kilometer seperti kejohanan-kejohanan sebelum ini. Untuk tahun depan, semua jarak laluan kita melebihi 160 kilometer,” kata Noraidiazhar Sulaiman.

Cabaran Berbasikal FELDA merupakan anjuran kali pertama oleh pihak FELDA melibatkan lima sirkit yang bermula di Felda Wilayah Raja Alias sejak awal Januari lalu diikuti Felda Wilayah Terengganu, Segamat, Trolak dan berakhir di Felda Wilayah Jengka.

Seramai 300 orang peserta termasuk warga Felda telah menyertai sirkit ke lima yang diadakan di Stadium Tun Abdul Razak Jengka.

- Advertisement -