Oleh Muhammad Aiman

Pahang memanfaatkan sepenuhnya kegagalan Kedah mengutip mata penuh apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Kelantan 2-1 dan melonjak selaku pendahulu Liga Super.

Aksi di Kota Bharu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang import sensasi, Mohamed Ghaddar yang meledak jaringan kesepuluhnya musim ini pada minit ke-16.

Ghaddar yang menerima umpanan Indra Putra Mahyuddin setelah bijak melepasi perangkap ofsaid, memperdayakan pemain pertahanan Muslim Ahmad sebelum melakukan penyudah tenang menewaskan Wan Azraie di gawang Pahang.

Jaringan itu bagaimanapun gagal menyuntik lebih motivasi buat skuad Zahasmi Ismail yang  kemudiannya terpaksa menangani asakan menggila skuad tok gajah menerusi gandingan Mahamadou Sumareh dan Matheus Alves.

Kerja keras skuad bimbingan Dollah Salleh membuahkan hasil apabila bekas pemain kesayangan The Red Warriors, Wan Zaharulnizam Zakaria menyamakan kedudukan pada minit ke-59 setelah merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Tidak sampai dua minit selepas itu, gawang Kelantan bergegar lagi kali ini Alves memanfaatkan sebaiknya kecuaian pertahanan dan menolak masuk jaringan kedua yang bertahan sehingga wisel penamat.

Pahang mendahului carta liga dengan 19 mata, berkelebihan jaringan ke atas Kedah manakala Kelantan yang mengalami kekalahan keempat musim ini, kesemuanya di gelanggang sendiri kekal di tangga keenam dengan 12 mata.

Di Kedah, kemelut penghijrahan Tan Cheng Hoe tampak sedikit memberi kesan kepada prestasi Lang Merah apabila mereka mencicirkan mata buat pertama kali di gelanggang sendiri setelah seri 1-1 menentang PKNS Selangor.

Skuad PKNS bimbingan E.Elavarasan mendahului selepas setengah jam permainan menerusi Lucas Espindola sebelum Kedah menyelamatkan satu mata menerusi Zhacary Anderson pada minit ke-37 dan mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Di Stadium Selayang, Selangor menewaskan Sarawak 2-1 untuk kembali melonjak ke tangga ketiga liga. Jaringan buat skuad P.Maniam dihasilkan oleh Victor Astafei dan Francis Forkey Doe manakala Mateo Roskam membalas buat Sarawak di lewat permainan.

Aksi di Ipoh pula menyaksikan tuan rumah Perak meraih jaringan penyamaan dramatik di minit akhir perlawanan membolehkan mereka mencatat keputusan seri 2-2 menentang T-Team dan naik satu tangga ke kedudukan keempat. 

Perak terlebih dahulu di depan menerusi Yashir Pinto pada minit ke-12 namun T-Team menjaringkan dua gol di separuh masa kedua menerusi Dilshod Sharafetdinov (m-48) dan Fakhrurazi Musa (m-71).

Tatkala The Titans dilihat sudah hampir membawa pulang tiga mata, pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat Perak pada masa kecederaan yang disempurnakan oleh Abdul Hadi Yahya.

- Advertisement -