Pahang kembali merampas kedudukan kedua Liga Super setelah bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC, terima kasih kepada jaringan lewat Mohamadou Sumareh dan ‘supersub’ Faisal Halim.

Skuad bimbingan Dollah Salleh ketinggalan seawal minit kedua menerusi jaringan Ritus Krjauklis tetapi Mohamadou Sumareh menyamakan kedudukan pada minit ke-75 dan Faisal mengesahkan tiga mata menerusi percubaan dari dalam kotak penalti pada minit ketiga masa kecederaan.

Namun ia tidak memadai untuk membuatkan penyokong setia Pahang untuk bergembira, tatkala rata-ratanya kecewa dengan kesebelasan utama yang menjadi pilihan Dollah Salleh selain prestasi ditunjukkan dua pemain import – Austin Iwuji Amutu dan Issey Nakajima Farran.

Dollah yang kehilangan khidmat penjaring terbanyak Patrick Cruz, turut meletakkan empat lagi pemain offensive iaitu Norshahrul Idlan Talaha, R.Kogileswaran, Wan Zaharulnizam Zakaria termasuk Sumareh kesemuanya di bangku simpanan.

Ia membuatkan barisan depan mereka diterajui Amutu kelihatan langsung tidak bermaya dan gagal berfungsi dengan baik, sekaligus dikecam hebat penyokong tok gajah.

Malah, Amutu dan Issey dikatakan merencatkan kualiti permainan Pahang dengan ramai yang mula merasakan kedua-dua pemain itu sekadar merupakan watak popular dan ‘indah khabar dari rupa’ sehingga ada yang melabel mereka sebagai rekrut yang langsung tidak berbaloi.

Chan Vanthanaka – pemain import dari Kemboja yang ditamatkan kontrak walaupun beraksi dengan baik dan berjaya menambat hati penyokong dikatakan jauh berkualiti dan sehingga kini masih ramai tertanya-tanya mengapa pemain itu disingkirkan.

Sementara itu, pendahulu Johor Darul Takzim mengukuhkan cengkaman dengan melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada lapan mata setelah menewaskan pencabar terdekat Perak 2-0 di Stadium Larkin.

Gol jaringan penalti pemain import baru, Fernando Marquez seawal minit kelima dan Jorge Santos Silva di separuh masa kedua menghadiahkan pasukan Raul longhi kemenangan ke-10 musim ini, membolehkan mereka mendahului carta liga dengan 32 mata manakala Perak tergelincir ke tangga ketiga.

Dengan berbaki sembilan perlawanan untuk diharungi, ianya tampak sukar buat mana-mana pasukan untuk menghalang harimau selatan daripada mendominasi saingan Liga Super buat musim kelima berturut-turut.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur meneruskan misi survival mereka dengan melonjak ke tangga ketujuh setelah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC bimbingan Irfan Bakti Abu Salim di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Gol buat skuad warga kota dijaringkan oleh Zhafri Yahya pada minit akhir separuh masa pertama, diikuti Guilherme De Paula (m-46) dan Paolo Josue (m-81) dan menariknya perlawanan ini turut menyaksikan penampilan semula bekas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee di gawang KL selepas lebih setahun tidak beraksi kerana masalah kesihatan.MUHD AIMAN 

- Advertisement -