Pasukan lelaki Jr NBA Asia Pasifik melakar  kejutan apabila menewaskan pasukan Amerika Syarikat di Kejohanan Jr NBA Global di Kompleks Sukan ESPN World Wide yang terletak di Walt Disney World berdekatan Orlando, Florida.

Pemain yang beraksi di posisi ‘guard’ kelahiran Australia, Donte Nance muncul wira selepas melakar jaringan kemenangan sekaligus mengatasi pasukan U.S South Boys 61-59.

Pemain Malaysia yang turut berada di dalam pasukan Asia Pasifik dan beraksi di posisi ‘forward’, Eman Ajmal Jamil turut cemerlang apabila menyumbang dua mata dan satu ‘rebound’ sepanjang perlawanan. Dan merekodkan purata satu mata dan 3.2 ‘rebound’ sepanjang lima perlawanan yang telah diharungi.

Dalam pada itu, pasukan Asia Pasifik perempuan tewas kepada pasukan perempuan Midwest U.S pada perlawanan terakhir, namun pujian perlu diberikan kepada pemain Malaysia, yang beraksi di posisi ‘guard’Chong Phui Khee yang berjaya melakukan ‘rebound’ dan ‘assist’ serta mengumpul purata satu mata sepanjang lima perlawanan.

“Mengumpulkan dan melatih pemain pemain dari negara berbeza dan perbezaan bahasa antara cabaran yang perlu diharungi.

“Cara mereka bermain dan bekerjasama untuk bermain sebagai satu pasukan adalah menarik dan kejayaan menjadi pasukan yang pertama menewaskan Amerika Syarikat sesuatu yang istimewa,”kata Jurulatih Pasukan Perempuan Jr NBA Asia Pasifik, Tony dela Cruz.

Pasukan Perempuan U.S Central dan pasukan lelaki U.S West masing masing merangkul pingat emas dikejohanan yang berlangsung selama enam hari itu. Pesuruhjaya NBA, Adam Silver, Juara NBA tiga kali dan Duta Kejohanan Jr NBA Global, Dwyane Wade dan Naib Presiden Bahagin Operasi, Pembangunan Pasukan  New Orleans Pelicans serta bekas WNBA All Star, Swin Cash menyampaikan hadiah dan trofi kepada pemenang.

Kejohanan Bola Keranjang remaja global bermula dari 6-11 Ogos dan mengumpulkan 32 pasukan terbaik lelaki dan perempuan berusia 13 dan 14 tahun dari seluruh dunia. Kejohanan Jr NBA Global ini adalah yang kedua diadakan dan pertama kali menampilkan pasukan Asia Pasifik.

Sepanjang minggu, para peserta turut melibatkan diri dengan aktiviti yang direka untuk menerapkan nilai nilai teras dalam Jr NBA. Kejohanan ini juga menyediakan pengalaman bermakna selain proses pembangunan termasuk program kesihatan, kepimpinan, dan projek perkhidmatan komuniti NBA Cares.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Kejohanan Jr NBA Global, layari laman sesawang rasmi di jrnbagc.nba.com serta di Facebook and Instagram

- Advertisement -