Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan membuat pembahagian jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di seluruh Johor selain turut menjualnya di kaunter perkarangan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada Khamis ini.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian berkata, setiap daerah di Johor bakal mendapat peruntukkan 26,610 tiket yang akan diagihkan kepada Pejabat Daerah masing-masing sekali gus memudahkan pembelian tiket oleh penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tinggal berjauhan dari Larkin.

“Kita akan agihkan tiket kepada seluruh penyokong JDT di daerah-daerah kerana di Johor kita ada 10 daerah dan kami akan berikan kepada pegawai daerah yang bertugas.

“Ini memberi kemudahan kepada penyokong JDT di setiap tempat bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dan selepas membuat pecahan, selebihnya kami akan jual di Larkin.

“Kita cukup optimis anggaran lebih kurang 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada kami (termasuk 5,000 secara talian) akan habis dijual kepada semua penyokong JDT, “ katanya yang ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia pada hari ini, seperti mana Kedah, JDT turut diperuntukkan 4969 tiket berharga RM80, 2621 tiket berharga RM100 dan 550 tiket berharga RM150 yang boleh dibeli secara dalam talian.

Aksi perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung 2 November ini dengan Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue selepas kali terakhir digunakan pada 2014 yang menyaksikan JDT tewas kepada Pahang melalui penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, Anizam juga berpuas hati dengan cara MFL mengelolakan perlawanan akhir berkenaan dengan memberi agihan yang adil kepada kedua-dua pasukan dalam urusan pembahagian tiket.

Tambahnya, beliau optimis perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil antara Kedah dan JDT akan dibanjiri penyokong.

“Mesyuarat tadi kami sepakat menerima jumlah tiket yang dicadangkan termasuk pembelian secara talian iaitu 30,000 bagi tiap pasukan dan bagi JDT, kami yakin mereka akan beri sambutan yang hangat.

“Sebanyak 25,860 tiket dan 750 tiket bagi kanak-kanak akan dijual secara manual pada Khamis ini manakala 5,000 tiket yang juga berharga RM50 akan dijual melalui dalam talian yang boleh dibeli pada Rabu ini, “ katanya.

- Advertisement -