hairuddin.omaOleh Muhammad Aiman

Tindakan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menghebahkan kepada media dan orang ramai mengenai pemberian surat amaran kepada semua pemain dan pegawai, sekadar menjadikan keadaan lebih keruh di kem Terengganu.

Ketua pasukan, Hairuddin Omar tanpa berselindung meluahkan rasa kurang senang akan tindakan persatuan itu yang disifatkan sebagai tidak kena dan boleh menjatuhkan moral pemain justeru mencabar pihak atasan PBSNT untuk turut memikul tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi pasukan.

“Saya tidak faham kenapa amaran keras PBSNT kepada pemain dihebahkan kepada media. Sepatutnya cara yang terbaik selesaikan masalah ini dengan lebih bijak, secara kolektif dan fokus utamanya adalah bagaimana Terengganu patut bangkit semula dan menang.

“Dalam hal memotong gaji dan penamatan kontrak pemain, saya cabar pihak atasan persatuan untuk mengakui kelemahan pentadbiran dengan meletak jawatan kerana mereka juga bertanggungjawab di atas kemenangan dan kekalahan pasukan.

“Mereka juga perlu didesak meletakkan jawatan kerana gagal mentadbir dan mengurus pasukan,” ujar Hairuddin yang mengesahkan kesemua pemain telah menerima surat amaran yang dikeluarkan PBSNT, petang semalam.

Tambah Hairuddin yang juga lebih mesra dengan panggilan Hai-O, “Jangan salahkan satu pihak sahaja, Ini sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama dan pihak pengurusan juga patut mengakui kelemahan yang ada dalam sistem pengurusan sebelum menuding jari menyalahkan pemain sebagai punca kemerosotan. Ini baru dikatakan profesional.”

Terengganu ketika ini mengharungi deretan keputusan buruk dengan mencatat empat kekalahan berturut-turut yang telah mengubah status mereka selaku pencabar kejuaraan kepada pasukan yang kini bergelut dengan prestasi malah berpotensi tergelincir ke zon penyingkiran.

Setelah sembilan perlawanan, Terengganu menduduki tangga kelapan liga dengan sembilan mata – hanya tiga mata mengatasi pasukan tangga kesebelas Pulau Pinang.

Justeru Hairuddin berpendapat dua aksi terakhir pusingan pertama Liga Super menentang Sarawak pada 4 Mei dan pasukan ‘adik’ T-Team pada 18 Mei adalah cukup getir dan penting buat Terengganu untuk segera bangkit kembali ke landasan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dan seterusnya layak beraksi di Piala Malaysia.  

- Advertisement -