jm.2015

Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia PKBM tetap mengambil risiko untuk membenarkan penganjur Jelajah Malaysia 2015, Platon Resources Sdn Bhd untuk terus mengendalikan perlumbaan itu bagi tahun 2016.

Syarikat tersebut yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan Jelajah Malaysia 2015 masih belum menyelesaikan tunggakan terhadap pembayaran wang kemenangan kepada pelumba dan elaun kepada pegawai pegawai teknikal yang terlibat.

PKBM telahpun menghantar surat kepada ketua pegawai eksekutif Platon Resources Sdn Bhd, Musairi Musa awal bulan ini memaklumkan Persekutuan Berbasikal Dunia, UCI telahpun meluluskan tarikh lumba berbasikal Jelajah Malaysia 2016 pada 18 hingga 22 Oktober.

Malah PKBM mahukan segala kelemahan yang wujud ketika menganjurkan Jelajah Malaysia tahun lalu diatasi.

Jelajah Malaysia 2015 hampir dibatalkan selepas mengalami kekurangan peruntukkan ketika perlumbaan telahpun memasuki peringkat kedua.

PKBM bagaimanapun menetapkan syarat syarikat perlu mempunyai peruntukkan sekurang kurangnya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan untuk menganjurkan perlumbaan berstatus 2.2.

Malah, laluan perlumbaan perlu dimaklumkan selewat lewatnya 2 bulan sebelum pertandingan bermula selain bayaran RM 40 000 untuk fi sanski, fi UCI dan servis PKBM perlu dibuat sebelum 1 Jun.

Isu penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal di Malaysia semakin serius kebelakangan ini melibatkan masalah tunggakan pembayaran kepada pemenang pemenang dan pegawai pegawai yang terlibat.

Jelajah Malaysia 2015 hampir dibatalkan, namun ia diteruskan selepas perbincangan diantara pegawai pertandingan, pengurusan pasukan untuk mengurangkan kos perbelanjaan selain pasukan pasukan yang bertanding bersetuju untuk mengeluarkan peruntukkan sendiri sehingga perlumbaan tamat.

Kredibiliti Malaysia sebagai penganjur kian tercalar selepas lumba berbasikal Jelajah Sarawak dibatalkan disaat saat akhir sedangkan pelumba pelumba telahpun berada di negeri tersebut.

- Advertisement -