Ng Eain Yow
Eain Yow

Oleh Muhammad Aiman

Pemain skuash nombor dua negara, Ivan Yuen melangkah ke separuh akhir Kejohanan New Zealand Classic setelah menundukkan Peter Creed dari Wales 3-0 (12-10, 11-3, 12-10) dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Palmerston Road petang tadi (Jumaat).

Kemenangan menyaksikan Ivan menempah pertemuan menentang wakil tuan rumah, Paul Coll – pemain yang menewaskannnya di separuh akhir Kejohanan Antarabangsa HKFC di Hong Kong bulan lalu sekaligus membuka peluang membalas dendam buat pemain ranking ke-54 dunia itu. 

Kekalahan di HKFC pastinya masih berbekas di ingatan Ivan di mana dia yang mendahului 2-0 dan hanya memerlukan satu mata sahaja untuk mengesahkan kemenangan, dikecewakan dek kebangkitan dramatik Coll yang akhirnya menang 3-2 (5-11, 9-11, 12-10, 11-5 dan 11-3).

Jurulatih kebangsaan, Ong Beng Hee berkata, “Ivan benar-benar bersemangat dan bersedia untuk terus melangkah. Ianya akan menjadi satu cabaran yang bagus buatnya dan sudah tentunya ia lebih manis jika dia dapat menewaskan Paul Coll di tempatnya sendiri.”

Coll yang merupakan pilihan utama kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$15,000 (RM61,000) itu terdahulu mara ke kelompok empat terbaik setelah menundukkan pemain Taiwan, James Huang.   

Dalam pada itu, seorang lagi pemain negara, Ng Eain Yow gagal meneruskan kejutan yang dilakar ketika pusingan pertama apabila tunduk mudah 0-3 (8-11, 7-11, 9-11) kepada pilihan kedua dari Australia, Rex Hedrick dalam satu lagi aksi suku akhir.

Faktor keletihan jelas sedikit sebanyak menganggu tumpuan pemain berusia 18 tahun itu yang mengerah sepenuhnya kudrat ketika menyingkirkan pilihan ketujuh Joshua Larkin dalam aksi pusingan pertama yang berlanjutan lima set pada Khamis.       

- Advertisement -