Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih Perlis, Razip Ismail meminta penyokong dan pengurusan memahami masalah dihadapi pasukan itu sebelum bertindak melepaskan kemarahan di atas prestasi buruk sepanjang kempen 100PLUS Liga Premier musim ini.

Sambil menyatakan kesediaan melepaskan jawatan andai khidmatnya tidak lagi diperlukan selepas Perlis mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dan kekal belum memenangi sebarang perlawanan liga selepas tujuh perlawanan, Razip menyatakan bahawa dia telah melakukan segala yang terdaya berdasarkan sumber yang ada bagi membantu singa utara tampil lebih kompeten.

“Saya melakukan segalanya, menukar strategi, menukar pemain, merehatkan pemain import, tetapi itu sahaja keupayaan mereka dan pilihan yang ada pun terhad. Penyokong harus memahami situasi Perlis yang kekurangan banyak sumber, khususnya pemain-pemain yang bagus.

“Macam mana hendak menang dengan barisan pemain ini yang mana ditolak oleh pasukan-pasukan lain. Pemain-pemain ini pun sebenarnya tiada kualiti untuk bermain di Liga Premier. Semua pemain utama musim lepas berhijrah menyertai pasukan lain,” kata Razip.

Sekumpulan penyokong setia Perlis bertindak menunggu bekas pengendali skuad Pahang, Kuala Lumpur dan Harimau Muda C itu di luar stadium bagi melepaskan kemarahan selepas kekalahan terbaru kepada Terengganu pada Selasa.

“Jadi, saya harap sangat penyokong lihat secara menyeluruh. Jangan lihat semuanya dengan pandangan negatif apabila kalah,” tambah Razip yang telahpun ditegur Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) agar pantas merencanakan perubahan terhadap nasib pasukan itu atau dia berdepan kemungkinan disingkirkan.

Mengenai amaran PFA itu, Razip berkata, “Mereka hendakkan jawapan mengenai punca kemeruduman pasukan, tetapi bila bagi jawapan, ia tidak boleh diterima mereka. Jadi saya serahkan kepada mereka untuk buat keputusan, kalau mereka tidak berpuas hati dan berpendapat pasukan boleh beraksi lebih baik tanpa saya, saya akur.”

Perlis ketika ini menghuni tangga tercorot 100PLUS Liga Premier dengan hanya mengumpul dua mata hasil keputusan seri menentang hasil keputusan seri menentang ATM pada perlawanan pembuka tirai dan UITM FC pada 10 Februari lalu.

- Advertisement -