Lebih 70 bintang tenis “terperangkap” dalam hotel dimana mereka dikuarantinkan menjelang Terbuka Australia atas alasan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa kesihatan untuk melonggarkan peraturan yang ketat khas buat mereka yang bertanding.

Dikatakan pemain tidak dibenarkan untuk meninggalkan bilik dan semua aktiviti latihan dijalankan didalam bilik sebagai persediaan untuk Grand Slam pertama tahun ini.

Terbuka Australia dijangka akan ditunda ke 8 Februari kerana berdepan isu baru setelah kes positif Covid-19 dikesan dalam tiga daripada 17 penerbangan charter yang membawa pemain dan kakitangan acara tersebut.

72 pemain dalam tiga pesawat tersebut dianggap kontak rapat dari empat kes positif dan dilarang berlatih diluar selama 14 hari dalam usaha besar-besaran Australia dalam pencegahan wabak itu, menyebabkan beberapa pemain menyuarakan ketidakpuasan hati di media sosial.

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic—yang tiba dengan pesawat yang tiada sebarang kes positif dan dibenarkan untuk berlatih—dilaporkan turut menyenaraikan beberapa tuntutan kepada pihak penganjur kejohanan termasuk membenarkan pemain berpindah ke rumah persendirian dengan gelanggan tenis.

Namun, Perdana Menteri, Victoria Daniel Andrews menolak permintaan tersebut dengan menegaskan pihak berkuasa tidak akan melonggarkan sebarang peraturan termasuk memberi layanan istimewa kepada pemain.

Tambahnya, para pemain sedar mengenai peraturan kuaranti ketat yang dikenakan Australia.

Ini telah menimbukan pelbagai reaksi dengan beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kebenaran lebih 1,000 pemain dan kakitangan kejohanna itu diterbangkan khas ketika puluhan ribu rakyat Australia masih terkandas diluar negara.

Australia masih menutup sempadan antarabangsa sejak bulan Mac tahun lalu dan membatas jumlah warganegaranya untuk pulang setiap minggu.

Seorang pengguna Twitter menyuarakan “keselamatan kesihatan negara Australia lebih penting dari hak istimewa anda.”

“Sebilangan besar kami tidak mahu pemain tenis yang berpotensi menyebarkan semula virus ini dan menyebabkan kita kembali dengan sekatan yang lebih ketat,” tulis seorang lagi.

Sementara itu, majoriti pemain dibenarkan untuk berlatih selama lima jam sehari.

Tennis Australia telah mula mengedarkan beberapa peralatan latihan kepada pemain yang berada dalam isolasi kerana bimbang risiko kecederaan. – Oleh Siti Zafirah Kamal

- Advertisement -