Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan masih belum memutuskan tentang status Tan Cheng Hoe bersama kelab itu.

KFA telahpun menerima surat perletakkan jawatan daripada Cheng Hoe, namun pengurusan mahu beliau mengemukakan tawaran selaku pembantu jurulatih bagi skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengharapkan isu pemilihan Tan Cheng Hoe tidak disalah ertikan oleh mana mana pihak.

Menerusi kenyataan media, pemilihan pengendali kedah itu atas keputusan yang dibuat oleh Mario Gomez yang melihat Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih tempatan yang terbaik.

“Mario sendiri menyatakan beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe kerana daripada ramai jurulatih tempatan, dia adalah yang terbaik baginya. Tetapi, ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak.

“Ini bukan perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti yang diuar-uarkan oleh mereka di media sosial yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya,” kata Tunku Ismail.

Tambahnya lagi, selain Cheng Hoe, Mario Gomez juga memilih Raul Longhi iaitu penolong jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara dan koordinator pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Isu perletakkan jawatan oleh Tan Cheng Hoe selepas perlawanan suku akhir pertama Piala FA Sabtu lalu menimbulkan spekulasi dikalangan peminat khususnya di laman sosial.

Bagi Tunku Ismail, mentaliti penyokong perlu berubah dan sikap melaga lagakan sesame sendiri adalah sesuatu yang perlu dikikis, malah bersedia untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja untuk menjawab sebarang persoalan.

“Saya berharap penyokong pandai menilai sendiri pihak yang selalu menguar-uarkan isu kecil dengan pihak yang memberi sumbangan bagi mengubah landskap bola sepak tempatan. Jangan hanya tahu melaga-lagakan penyokong sahaja.

“Saya akan pergi ke semua negeri untuk mesyuarat Exco FAM dan sesi bersama penyokong. Kepada anda yang tidak puas hati boleh bertanya terus dan berkongsi pendapat dengan saya. Saya bukan individu yang suka bersembunyi dan tidak tahu apa-apa.

“Jika ada individu atau pihak yang suka memperbesarkan isu yang remeh-temeh, melagakan orang daripada mencari jalan penyelesaian, itu terpulang kepada mereka. Mentaliti penyokong sekarang perlu diubah,” katanya lagi.

- Advertisement -