Xu Chen-Ma Jin

Oleh Muhammad Aiman

Kegagalan mengekalkan dominasi dalam beberapa acara sukan meletakkan China, antara kuasa besar sukan dunia berdepan kemungkinan menamatkan Sukan Olimpik dengan kutipan pingat emas tidak melepasi angka 25 buat pertama kali dalam tempoh dua dekad, sekaligus menjadikan temasya Rio De Janeiro 2016 sebagai penampilan terburuk mereka sejak 1996.

Dari gimnastik hinggalah ke sukan terjun, China gagal memenangi atau mempertahankan pingat emas dari acara sukan yang diramal akan mudah dikuasai mereka sekaligus menyaksikan mereka berada di kedudukan ketiga pungutan pingat di belakang Amerika Syarikat dan Britain.

Malah kutipan 51 pingat (17 emas, 15 perak dan 19 gangsa) setelah 12 hari temasya bermula dilihat sangat jauh untuk menyamai pencapaian empat tahun lalu di London, di mana kontijen negara tembok besar itu membawa pulang 88 pingat (38 emas, 29 perak dan 21 gangsa).

Malah media tempatan di China sendiri sudah mula mempertikai dan meragui kemampuan atlet mereka, dengan China News Service dipetik menulis, “Dengan kutipan emas China lebih banyak tertumpu pada permulaan temasya, ianya sukar untuk kita mencapai walaupun 25 emas di Olimpik kali ini tatkala tinggal beberapa hari sahaja untuk kejohanan menutup tirai. Yang terburuk dalam lima edisi olimpik.”

China yang menghantar kontijen luar negara terbesar mereka seramai 416 atlet ke Rio tahun ini, mengutip 16 emas di Atlanta 96 dan 28 emas di Sydney 2000.

Dan mereka tidak pernah tergelincir dari kedudukan dua terbaik sejak 2004 dengan kutipan 32 pingat emas, dan mencatat rekod kutipan pingat sebanyak 51 emas ketika menjadi tuan rumah pada Beijing 2008.

Namun, ceritanya cukup berbeza, segalanya serba tidak menjadi buat China di bumi Brazil.

Seawal hari pertama, mereka terpaksa berputih mata apabila bekas jaguh olimpik Du li dan Yi Siling sekadar berpuas hati meraih perak dan gangsa masing-masing manakala perenang Sun Yang gagal mempertahankan emas dalam kedua-dua acara 400m dan 1,500m gaya bebas.

Dalam acara terjun 3m papan anjal seirama pula, penguasaan lapan tahun penerjun China berakhir di tangan Great Britain manakala dua beregu campuran yang mara ke final di London 2012, Zhan Nang-Zhao Yunlei dan Xu Chen-Ma Jin tersingkir di peringkat separuh akhir.

Ghao Zhidan, Pentadbir Kehormat Sukan China telahpun memberi amaran sejak sebelum olimpik bermula betapa atlet negara itu akan berdepan beberapa cabaran besar, antaranya kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran di Amerika Selatan serta perubahan peraturan dalam beberapa acara sukan.

Begitupun, terdapat juga pandangan positif di media sosial yang mengatakan bahawa, “Masyarakat China kini telah mengorak langkah, kita mahu atlet gembira dengan apa yang mereka lakukan walau menang walau kalah, bukannya taksub mengejar kemenangan atau emas semata-mata. Ia penting untuk pembangunan sukan di China.

“Kita tidak perlukan pingat emas untuk menyuntik keyakinan dan bersikap kasar terhadap atlet kita,” antara komen yang dipetik oleh akhbar tempatan Xinhua. 

- Advertisement -