IMG-20151210-00406

IMG-20151210-00401

Sejak kebelakangan ini, program pencarian harta karun semakin popular dan dijadikan satu riadah untuk orang ramai berkumpul, bertemu, berbual mesra serta bertukar fikiran selepas seharian menumpukan perhatian terhadap tugasan di pejabat.

Begitu juga wartawan sukan yang juga ahli Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang rata-rata berkhidmat di akhbar, majalah, tabloid, agensi media, stesyen televisyen mahupun radio.

Pada hari ini, SAM melancarkan program PENCARIAN HARTA KARUN PERSATUAN PENULIS – PENULIS SUKAN MALAYSIA (SAM) 2015 KUALA LUMPUR KE MELAKA dengan bermatlamatkan untuk mengeratkan silaturahim di antara pengamal media dengan pihak penaja serta atlet.

Pencarian Harta Karun juga menguji minda, ketahanan mental dan fizikal serta pengetahuan peserta mengenai isu semasa, kemajuan di satu-satu kawasan dan perkembangan terkini mengenai kemajuan sukan tanah air.

Aktiviti ini juga dilihat secara tidak langsung dapat mempromosikan lagi kawasan yang dilalui peserta yang rata-rata warga SAM, penduduk Semenanjung Malaysia, wartawan dan jurugambar yang mewakili syarikat penerbitan serta penyiaran.

Di samping itu mendekatkan peserta dengan orang ramai terutama penduduk kampung yang dilalui, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Program ini juga bagi mendidik peserta dan orang ramai betapa penting mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya. Ini termasuk mendedahkan peserta akan simbol-simbol yang terdapat di sepanjang laluan dari HQ SAM hinggalah ke Negeri Sembilan dan tamat di Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Bersejarah.

Memandu sejauh lebih 200 kilometer peserta akan didedahkan dengan 40 soalan berkisar papan tanda, mercu tanda dan maklumat mengenai SAM dan aktivitinya. Manakala lima harta karun yang dibeli peserta akan disumbangkan kepada wakil rumah anak yatim dan orang miskin yang akan dikenal pasti kelak.

Membantu kerajaan negeri Melaka dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Warisan mempromosikan industri pelancongan domestik, sekaligus menjana ekonomi negara. Memperkenalkan budaya adat resam luar bandar kepada peserta yang rata-rata penduduk bandar.

Program akan diadakan pada 19 Disember ini (Sabtu) bermula jam 8 pagi hingga 3 petang. Bermula di perkarangan tempat letak kereta HQ SAM ke Ayer Keroh, Melaka.

 Sebanyak 50 kereta dikenal pasti untuk mengambil bahagian iaitu rata-rata adalah ahli SAM, wartawan dan jurugambar yang berkhidmat di Malaysia. Setiap pasukan diwakili tidak lebih daripada empat orang iaitu pemandu, juruarah dan dua penumpang di belakang. Atau, sekurang-kurangnya dua orang saja.

Selain menjawab soalan, peserta akan diberikan tugasan yang perlu diselesaikan, ini termasuk permainan sukan rakyat.

Pemenang dikira berdasarkan jumlah mata tertinggi yang dikumpul. Jika kedua-dua pasukan terikat mata yang sama, kiraan masa berlepas dan tamat akan diambil kira. Yang pasti pencarian harta karun bukan untuk berlumba. Peserta dikehendaki mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan.

 

- Advertisement -