Oleh Muhammad Aiman

Pasangan beregu campuran nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tekad mahu meneruskan kecemerlangan yang ditunjukkan di Kejohanan Badminton All England lebih kurang dua minggu lalu, di Terbuka India yang berlangsung minggu ini.

Peng Soon-Liu Ying hampir sahaja melakar sejarah menjadi pasangan beregu campuran pertama Malaysia untuk mendakap gelaran All England apabila bermula cemerlang ketika menentang beregu dari China Lu Qai-Huang Ya Qiong dalam aksi final namun dikecewakan dengan kekalahan 21-18, 19-21 dan 16-21.

Enggan terus memikirkan kegagalan itu, Peng Soon-Liu Ying bermotivasi tinggi mahu mencatat keputusan yang lebih baik di India.

“Kami tewas di All England setelah berikan tentangan sengit dan kini perlu terus melihat ke depan. Persiapan kami berjalan dengan baik dan harapnya ia akan menjadi satu lagi penampilan positif buat kami musim ini. Kami tidak terlalu meletakkan tekanan tinggi.

“Selepas India kami akan bermain pula Terbuka Malaysia di Kuching. Harapnya kami boleh dapatkan momentum di India ini sebelum bermain di laman sendiri nanti. Kami sasarkan kejayaan di Terbuka Malaysia jadi penting untuk bina keyakinan dengan tunjukkan prestasi baik di sini,” kata Liu Ying.

Peng Soon-Liu Ying yang turun sebagai pilihan keempat akan berdepan wakil tuan rumah, Gaurav Prasad-Juhi Dewangan di pusingan pertama pada Rabu dan mereka dijangka tidaj bermasalah meneruskan kemaraan sehingga ke suku akhir.

Seandainya berjaya mengelak kejutan, pemenang pingat perak Olimpik Rio itu akan berdepan pilihan kelima Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand di suku akhir dan kemudiannya pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Chen Qingchen dari China di separuh akhir.

Wakil Malaysia lain yang turut beraksi di Terbuka India adalah pasangan beregu lelaki nombor dua dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong. Mereka akan berdepan pasangan Thailand Kedren Kittinupong-Dechapol Puavaranukroh di pusingan pertama.

- Advertisement -