Kurang daripada lima minggu, penganjur Human Voyage akan memastikan persiapan bagi perlumbaan berbasikal terkemuka di Malaysia, PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL 2020) yang dijadual bermula di Kota Kinabalu pada 6 Februari berjalan dengan lancar tanpa sebarang isu yang besar.

Sedia maklum dengan cabaran melibatkan logistik yang perlu dibawa ke bahagian Sabah dan Sarawak bagi persiapan untuk tiga acara utama di Kota Kinabalu dan Kuching termasuklah pengenalan pasukan, perlumbaan Kriterium dan Perlumbaan Peringkat Pertama, penganjur optimis sebarang cabaran boleh ditangani menerusi kerjasama melibatkan semua pihak.

“Sudah tentu logistik akan menjadi cabaran besar untuk kami, tetapi kami bersedia sepenuhnya. Kami sudah bentangkan pergerakan dan langkah langkah yang wajar secara terperinci khususnya dalam menguruskan pengangkutan dan logistik pasukan pasukan terlibat.

“Selain daripada mengurus tadbir kaki tangan dan petugas petugas kami yang sudah berpengalaman, kami juga akan bekerjasama dengan pihak agensi tempatan yang terlibat dan mempunyai pengalaman meluas melibatkan kedua dua negeri. Kami berterima kasih dengan wakil dari Sabah dan Sarawak diatas kerjasama dan kami juga bersedia untuk sebarang kemungkinan,”kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa.

LTdL kembali ke bumi Sabah dan Sarawak selepas 23 tahun dimana kali terakhir dua negeri itu terlibat ketika edisi kedua yang diadakan pada 1997.

Tahun 2020 menjadi edisi yang cukup istimewa kerana LTdL bakal meraikan ulang tahun ke 25 sejak perlumbaan ini pertama kali diperkenalkan pada 1996 dan berstatus 2.6. Kini LTdL dinaik taraf ke perlumbaan berstatus ProSeries oleh UCI, hanya satu ank tangga dibelakang Siri Jelajah Dunia (World Tour Series) yang dahulunya dikenali dengan Grand Tour seperti  Tour de France, Giro d’Italia, La Vuelta (Sepanyol), UCI Classic Series dan lain lain perlumbaan Jelajah Dunia.

Perlumbaan akan melibatkan lapan peringkat perlumbaan ini akan bermula di Padang Merdeka, Kuching pada 7 Feb 2020 dan tamat di Kuah, Langkawi pada 14 Februari 2020.

Kota Kinabalu akan menjadi venue bagi majlis pengenalan pasukan pada 5 Februari diikuti perlumbaan Kriterium Antarabangsa yang dijadual berlangsung di tengah tengah bandar pada 6 Februari bersempena sambutan Jubli Perak. Kriterium Antarabangsa melibatkan kayuhan sejauh 95.2 kilometer, dan memberi ruang kepada pelumba pelumba yang berumur 23 tahun dan ke bawah samada dari Malaysia atau negara negara ASEAN untuk bersaing sengit dengan pelumba pelumba profesional dan elit.

Daripada Kota Kinabalu, kesemua yang rterlibat akan menuju ke Kuching bagi mengharungi Peringkat Pertama perlumbaan yang berlangsung di Padang Merdeka. Selepas selesai, kesemua pihak yang terlibat akan diterbangkan ke Kuala Terengganu untuk mengharungi Peringkat Kedua perlumbaan pada hari berikutnya.

Sambutan ulang tahun ke 25 merangkumi perlumbaan sehari Malaysia Classic atau digelar ‘Race of Champion’ pada 15 Februari di Langkawi dan akan menampilkan juara juara dari setiap negara yang mengambilan bahagian.

Tambah Datuk Ahmad Mustafa lagi, Sabah dan Sarawak mahu memastikan penganjuran perlumbaan di tempat mereka adalah yang terbaik susulan penyertaan pasukan pasukan terkemuka dan pelumba pelumba serta bakal mendapat liputan media yang meluas bukan sahaja dalam tetapi luar negara.

“Sepanjang tempoh kira kira seminggu, kesemua petugas petugas yang terlibat termasuklah media antarabangsa (elektronik) akan berkampung di Kota Kinabalu dab Kuching. Ia secara tidak langsung akan menjana ekonomi selain liputan media yang meluas. Ini bukan sahaja untuk mempromosikan sukan berbasikal di negeri masing masing tetapi turut mengetengahkan keunikan budaya melibatkan kedua dua negeri,”kata Datuk Ahmad Mustafa lagi.

132 pelumba daripada 22 pasukan dijangka mengambil bahagian bagi perlumbaan edisi tahun ini termasuklah pasukan berstatus World Tour, Pro Benua dan Benua dari negara negara dari Eropah, Asia, Oceania, Afrika dan Amerika. 

Bersempena ulang tahun ke 25 penganjuran, pelbagai aktiviti sampingan melibatkan aktiviti sosial turut dirancang sebagai sebahagian daripada langkah untuk melibatkan komuniti setempat.

- Advertisement -