C38C2739

Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my) akan menganjurkan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my. Anugerah tersebut adalah satu pengiktirafan kepada pemain-pemain bolasepak profesional daripada PFAM.

Bermula Mei 2015 sehingga tamat musim Liga Malaysia 2015, seorang pemain daripada Liga Super atau Liga Perdana (yang turut bermain di Piala FA) yang menunjukkan prestasi yang terbaik setiap bulan akan dipilih sebagai penerima anugerah tersebut. Pemain yang dipilih sebagai pemenang boleh terdiri daripada pemain tempatan dan pemain import.

Pemenang anugerah tersebut bakal menerima RM500, sebuah trofi dan gambar beserta bingkai pemain tersebut.  Pada 18 Mei 2015, majlis pelancaran Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my telah diadakan di Restoran D’Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Encik Kevin Ramalingam.

Bagi bulan Mei 2015, 5 calon telah dipilih oleh Jawatankuasa Pencalonan anugerah tersebut. Antara calon-calon adalah Khairul Amri (Lions XII), Dickson Nwakaeme (Pahang FA), Austin Amutu (Kelantan FA), Wan Zaharul Nizam (Kelantan FA) dan Hairuddin Omar (ATM FA).

Antara objektif PFAM menganjurkan anugerah tersebut adalah seperti berikut:

  1. Sebagai pengiktirafan dan penghargaan PFAM kepada pemain-pemain yang telah menyumbang keringat dalam karier mereka;
  2. Untuk mewujudkan suasana persaingan yang positif dalam kalangan pemain untuk menjadi yang terbaik dan seterusnya meningkatkan mutu bolasepak tempatan; dan
  • Untuk meningkatkan imej dan reputasi pemain-pemain dalam kalangan peminat bolasepak.

Penilaian akan dibuat oleh Jawatankuasa Pencalonan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my yang terdiri daripada pengamal-pengamal media sukan yang berpengalaman. Antara perkara yang dinilai oleh Jawatankuasa Pencalonan adalah prestasi pemain sepanjang bulan, jumlah jaringan, dan bantuan gol.

Mereka bebas untuk memilih mana-mana pemain daripada Liga Super dan Liga Perdana yang dirasakan layak untuk menerima anugerah tersebut. Walaubagaimanapun, pemain-pemain Harimau Muda tidak layak untuk dicalonkan kerana mereka tidak bermain dalam Liga Malaysia.

Undian akan dibuat melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my. Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser). Sesiapa sahaja boleh mengundi calon-calon untuk anugerah tersebut.

PFAM akan memasukkan senarai pencalonan ke dalam laman web PFAM antara tarikh 15 – 21 haribulan setiap bulan dan undian akan dibuka selama seminggu untuk peminat-peminat bolasepak mengundi calon kegemaran mereka. Pengundian bermula 18 Mei dan berakhir pada 31 Mei, jam 12 malam.

Semoga anugerah ini dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi mereka.

- Advertisement -