Penganjuran dua kejohanan domestik seperti yang telah diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Pertandingan sebelum ini iaitu Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021, akan dilangsungkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Dua kejohanan domestik tersebut akan dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di mana Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 akan dilangsungkan pada 10 November hingga 20 November 2021 sementara Kejohanan TNB MJHL 2021 pula pada 26 November 2021 hingga 2 Januari 2022.

Bagaimanapun terdapat sedikit perubahan bagi penganjuran TNB MJHL 2021 di mana kejohanan tersebut akan dilangsungkan bagi kategori lelaki sahaja sekaligus menyaksikan tiada penganjuran bagi kategori wanita namun Jawatankuasa Pertandingan KHM mempunyai perancangan untuk menganjurkan kategori wanita pada awal 2022 dan ianya akan diputuskan semula.

Perkara tersebut telah dikongsikan menerusi satu sidang media yang dilangsungkan secara aplikasi dalam talian hari ini dan ianya telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh.

Kedua-dua kejohanan tersebut akan dilangsungkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk memastikan kejohanan dilangsungkan dengan selamat.

Bagi format kejohanan pula, KHM mengekalkan format yang digunakan pada edisi sebelum ini di mana bagi Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021, kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan dalam satu divisyen sahaja.

Empat kumpulan akan dipecahkan mengikut jumlah penyertaan bagi kategori lelaki dan tiga kumpulan bagi kategori wanita juga mengikut jumlah pasukan yang bertanding dan KHM akan mula menghantar “calling entry” kepada setiap negeri pada 17 September 2021.

Sementara bagi Kejohanan TNB MJHL 2021 pula, format yang telah digunakan pada edisi sebelum ini iaitu pecahan dua divisyen akan dikekalkan dengan divisyen satu akan dipertandingkan secara liga satu pusingan melibatkan 10 pasukan.

Bagi divisyen dua pula, kumpulan akan dipecahkan mengikut penyertaan yang diterima oleh KHM dan semua pasukan yang ingin mengambil bahagian bagi Kejohanan TNB MJHL 2021 mempunyai masa sehingga 21 September untuk menghantar borang penyertaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh,Kejohanan TNB MJHL 2021 akan melibatkan pemain berusia 21 tahun kebawah namun usia bagi penjaga gol ditetapkan 19 tahun kebawah.

“Matlamat utama penganjuran TNB MJHL adalah untuk mencari bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan untuk mewakili pasukan kebangsaan. Rasional mengapa ada perbezaan had usia bagi penjaga gol dan pemain adalah kami ingin mencari penjaga gol muda yang masih boleh diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

“Ianya juga sebagai persediaan Malaysia bagi meganjurkan Hoki Piala Dunia Remaja 2023. Oleh kerana itu, kami menetapkan penjaga gol haruslah berusia 19 tahun kebawah,” jelasnya.

Untuk rekod, ekoran penularan Wabak Pandemik Covid-19, Kejohanan TNB MJHL pada tahun lalu dibatalkan. Sementara Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 pula dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan Covid-19 dikalangan pemain dan pegawai ataupun menyebabkan wujudnya sebarang kluster melibatkan kejohanan tersebut.

- Advertisement -