Perak Bison dan Penang Black Panthers menempah tiket beraksi di perlawanan akhir Sepaktakraw League (STL) Champions Cup setelah cemerlang menundukkan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir yang berlangsung Sabtu.   

Tatkala Penang Black Panthers mara setelah menang mudah ke atas Kelantan Warriors, ianya Perak Bison yang mencuri tumpuan di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya apabila tampil dengan prestasi bertenaga untuk mengejutkan kelab jemputan dari Thailand, Manang City Voyagers.

Perak Bison yang mempertaruhkan gandingan Meor Zulfikar Mat Amin-Izham Idris dan Fadzil Mustafa bermula dengan langkah kanan apabila menang 21-18 di set pertama ke atas trio Natthawut Naewprom-Yothin Tansee-Tanaphon Sapyen.

Set kedua menyaksikan pertarungan lebih sengit antara kedua-dua regu di mana Manang City cuba menterjemahkan kebangkitan dengan mengikat kedudukan 21-21 namun Perak Bison memastikan kemenangan 23-21 setelah rejaman Fadzil gagal dikembalikan Yothin.  

“Sememangnya kami tidak jangka untuk memenangi perlawanan ini, kami turun sebagai ‘underdog’ apatah lagi Manang membawa antara pemain-pemain terbaik mereka. Tetapi kami turun tanpa tekanan dan pemain juga berada di tahap terbaik, berjaya kurangkan kesilapan.

“Apapun, kelebihan sebenar bagi kami malam ini adalah penyokong, kita tengok stadium pun penuh, sorakan mereka sepanjang perlawanan memberikan semangat luar biasa kepada kami.

“Saya harap pemain dapat kekalkan konsistensi ini untuk aksi final nanti, kita mahu tewaskan Penang kerana mereka adalah satu-satunya pasukan yang kita tidak pernah menang setakat ini,” kata pengurus Perak Bison, Jeffrey Zainol.

Dalam aksi yang berlangsung lebih awal, Black Panthers tidak berdepan masalah menyingkirkan Kelantan Warriors, juga menerusi kemenangan straight set 2-0 (21-14, 21-15).

Juara STL Premier itu nyata terlalu unggul untuk disaingi apabila trio gandingan Syahir Rosdi-Azlan Alias-Farhan Adam langsung tidak memberi ruang kepada Hisyam Mat-Naim Izani Md Nor-Aidil Aiman Azwawi untuk menterjemahkan potensi sebenar mereka.

Pengurus Black Panthers, Zulfazlee Kamarulzaman berkata, “Pemain-pemain begitu bersemangat bukan sahaja kerana memburu gelaran berganda tetapi mahu melakar sejarah muncul sebagai juara sulung STL Champions Cup, kini kami hanya selangkah sahaja lagi dan peluang adalah seimbang. Yang penting, fokus dan kekalkan momentum.”

Untuk rekod, Perak Bison dan Black Panthers telah bertemu tiga kali musim ini – dua di dalam saingan STL Premier dan sekali ketika aksi peringkat kumpulan STL Champions Cup minggu lalu – ketiga-tiganya dimenangi Black Panthers.

Perlawanan akhir antara kedua-dua pasukan akan berlangsung jam 8.30 malam Ahad manakala Manang City dan Kelantan Warriors pula akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada jam 6 petang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -