PERAK kembali mengungguli arena hoki negara selepas muncul juara Edisi Ke-58 TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 (Lelaki) dengan menumpaskan Terengganu 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Jaringan hatrik penyerang Muhammad Haziq Samsul membantu Perak meraih kejuaraan kelima mereka dalam tempoh lapan tahun sejak kali terakhir menjulang piala kejuaraan pada 2013.

Ia merupakan kejayaan ketiga buat Perak ke atas Terengganu dalam saingan final selepas menewaskan gergasi Pantai Timur itu sebelum ini pada perlawanan akhir 2017 dan 2018.

Kejayaan itu juga hadir sebagai hadiah kemenangan manis buat pengendali Perak Roslan Jamaluddin yang bertindak sebagai ketua jurulatih buat kali pertama. Bekas penjaga gol kebangsaan itu pernah menjuarai Piala Tun Abdul Razak sebagai pemain pada 2013, 2014, 2017 dan 2018.  

Impian juara dua kali Terengganu – yang berjaya mara ke final buat kali keempat dalam tempoh lapan tahun sejak 2012 – untuk meraih kejuaraan ketiga selepas memenangi kejuaraan pada 2012 dan 2016, tidak kesampaian dan terpaksa sekali lagi akur dengan keampuhan skuad Perak.

Dua jaringan sudut penalti dari penyerang prolifik Faizal Saari masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua nyata belum cukup untuk membantu Terengganu menyaingi Perak.

Perlawanan membabitkan dua gergasi tanahair itu bermula dengan sengit dengan corak permainan kemas tetapi aggresif. Terengganu seakan memberi amaran awal menerusi jaringan awal Faizal Saari yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit pembukaan perlawanan.

Namun jaringan balas Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke 17 jelas membuka ledakan gol buat skuad Perak. Muhammad Haziq Samsul, yang dinobat sebagai pemain terbaik final, membenam Terengganu dengan jaringan hatrik padang  pada minit 30, ke-32 dan ke-46 yang meletakkan Perak dalam keadaan selesa 4-1.

Terengganu cuba bangkit pada suku terakhir permainan tetapi Perak tetap bertahan biarpun Faizal Saari sekali lagi berjaya menggegar gawang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

Jurulatih Perak Roslan Jamaluddin jelas gembira dengan kejayaan manis Perak. “Memang apa yang kita rancang menjadi malam ini. Komitmen pemain pula memang menakjubkan dan melepasi jagkaan saya. Secara jujur, saya amat gementar kerana pertama kali mengemudi Perak tetapi bersyukur kerana berjaya muncul juara,” kata beliau.   

Pemain Terbaik final Muhammad Haziq Samsul yang menjaringkan hatrik malam ini, berharap dapat kembali menyertai skuad kebangsaan dan berkata: “Kemenangan ini kami hadiahkan untuk semua rakyat Perak, semuanya hasil kerja berpasukan. Saya harap dapat diberikan peluang kembali ke skuad kebangsaan oleh jurulatih kebangsaan selepas ini.”

Kejohanan sembilan yang dianjurkan menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 seperti yang ditetapkan pihak berkuasa itu berakhir dengan jaya dengan penyerang Terengganu Faizal Saari muncul sebagai penjaring terbanyak Lelaki dengan 19 gol.

Skuad Kedah meraih anugerah Fairplay manakala Kuala Lumpur muncul sebagai pasukan ketiga terbaik selepas menumpaskan Pahang 6-3 pada perlawanan penentuan ke-3/Ke-4.

 

SENARAI PENGHARGAAN:

JUARA: Perak

NAIB JUARA: Terengganu

KETIGA: Kuala Lumpur

PEMAIN TERBAIK FINAL: Muhammad Haziq Samsul (PERAK)

PENJARING TERBANYAK: Faizal Saari (TERENGGANU) 19 gol

FAIRPLAY: Kedah

- Advertisement -