rio.2016Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih pasukan renang kebangsaan, Paul Thomas Birmingham tegas dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan perenang negara yang sudahpun layak beraksi di Sukan Olimpik untuk mengambil bahagian di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan berlangsung pada Julai depan.

SUKMA akan berlangsung pada 22-31 Julai manakala Sukan Olimpik di Rio De Janeiro akan berlangsung dari 5-21 Ogos justeru Birmingham berkata pasukan negeri tidak boleh bersikap pentingkan diri sebaliknya memberi keutamaan kepada persiapan skuad kebangsaan.

“Kontijen negeri perlu meletakkan agenda nasional sebagai keutamaan berbanding perkara lain. Ianya tidak betul untuk menyenaraikan perenang Olimpik untuk beraksi di SUKMA. Dua pertandingan ini akan berlangsung cukup dekat antara satu sama lain, perenang perlu membiasakan diri dengan zon masa 12 jam dan ianya mustahil untuk kita harapkan prestasi terbaik dari mereka di Olimpik.

“Kita akan tahu senarai nama perenang yang sah layak ke Olimpik sebelum SUKMA bermula jadi kesemua mereka akan disekat dari bertanding di Kuching. Perancangan kita adalah untuk membawa perenang Olimpik ini ke kem latihan di Florida (Amerika Syarikat) pada bulan Julai. Kita akan berpusat di sana dan terus terbang ke Rio dari sana untuk jimatkan masa perjalanan,” jelas Birmingham.

Selaku tuan rumah, Sarawak menunjukkan minat mereka untuk menggunakan khidmat perenang muda yang semakin mencipta nama, Welson Sim walaupun perenang berusia 18 tahun itu hanya boleh beraksi dalam dua acara individu dan tiga acara relay disebabkan statusnya sebagai pemenang pingat emas Sukan Sea.

Welson sudahpun mengesahkan tiket beraksi di Rio De Janeiro dalam kategori A bagi acara 200m dan 400m gaya bebas selepas mencatat 1:47:67s dan 3:50:33s dalam Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan di Singapura pada bulan lalu.

Nasib perenang yang akan layak di bawah kategori B hanya akan diketahui pada 11 Julai depan. Perenang yang terlibat dengan kategori B adalah Kevin Yeap, Daniel Bego (400m gaya bebas), Yeap Zheng Yang (200m gaya bebas) serta Wong Fu Kang (100m Kuak Lentang) bagi kategori lelaki.

Manakala bagi kategori wanita adalah Chui Lai Kwan (50m gaya bebas), Khoo Cai Lin (400m gaya bebas) dan Phee Jinq En (100m kuak lentang).

- Advertisement -