perlawanan-amal

Oleh Ku Mohd Lufti

Hampir lima-ribu ringgit berjaya dikumpulkan hasil penjualan lebih 400 tiket dalam perlawanan amal bola Sepak antara pasukan ‘Terengganu Legend’ dan ‘Kelantan Legend’ di Kuala Terengganu.

Perlawanan tersebut merupakan anjuran bersama bekas persatuan pemain daripada kedua-dua pasukan negeri itu bertujuan bagi mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada keluarga bekas pemain Terengganu, allahyarham Alfian Aziz dan Ariffin Osman yang meninggal dunia baru baru ini.

Allahyarham Alfian berusia 36 tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya berhampiran Hentian Titiwangsa, Gerik, Perak, 13 November lalu.

Allahyarham Ariffin pula meninggal, 14 November lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan pernah mewakili Terengganu pada era Semi Pro, manakala Arwah Alfian pada sekitar tahun 2000, serta pernah mewakili Kelab TNB Kelantan.

Secara kebetulan kedua-duanya juga bermain di posisi yang sama iaitu dibahagian serangan dalam skuad Peteh, namun berbeza era kegemilangan.

Perlawanan amal ini berkesudahan dengan kemenangan ke atas ‘Kelantan Legend’ dengan keputusan 3-2.

“Lagi pun kita tidak pernah ada perlawanan sebegini, jadi saya dan rakan rakan mengusahakan sedaya upaya walaupun kita tiada dana. Kita cuba gerakkan persatuan bekas pemain selepas ini untuk lebih aktif dan membantu bekas bekas pemain Terengganu khususnya.” Kata Norhisham Hassan yang juga bekas pemain Terengganu dan penganjur kejohanan amal.

- Advertisement -