UniKL Terus Kuasai, THT Beri Tekanan

SAINGAN penentuan juara Liga Hoki Malaysia (Premier) 2021 bakal ditentukan pada perlawanan terakhir Khamis ini (25 Mac) selepas semua pasukan dalam kelompok empat teratas mengekalkan kedudukan dengan mengatasi lawan masing-masing pada perlawanan keenam liga hari ini. 

UniKL terus memastikan kedudukan sebagai pendahulu dengan kelebihan satu mata (16 mata) di depan pencabar terdekat THT (15 mata ) manakala Maybank melonjak satu tangga dengan TNB turun ke kedudukan keempat Liga selepas perlawanan mala mini. 

Dua perlawanan terakhir Khamis ini bakal menyaksikan saingan menarik antara UniKL dan juara dua kali Maybank manakala THT bakal berentap menentang TNB.  Sabah, yang tampil kali pertama dalam kancah saingan, akan bertemu UiTM manakala TNB Thunderbolts pasti mahu menamatkan kempen Liga dengan mata penuh apabila turun menentang Nurinsafi HT.

UniKL 4 – 0 TNB Thunderbolts 

USAHA memburu piala kedua tampak semakin hampir direalisasikan selepas kejayaan selesa mengatasi TNB Thunderbolts 4-0 di Stadium Hoki Nasional mala mini, sekaligus mengukuhkan kedudukan juara bertahan UniKL di puncak liga menjelang aksi kemuncak dalam tempoh 48 jam.  

Begitu pun , pengendali UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi mengakui tentangan sengit TNB Thunderbolts pada 20 minit pertama perlawanan yang menyaksikan barisannya sukar mencari gol awal. 

Jaringan padang pemain berpengalaman Harvinder Singh pada minit ke-25 menghadirkan kelegaan buat UniKL, sekaligus menukar tempo dan menguasai permainan selepas separuh masa pertama. 

“Kecuali pada awal permainan, saya puas hati kerana kami bermain mengikut perancangan awal, menggunakan struktur yang sepatutnya. Pujian untuk TNB Thunderbolts sebagai pasukan muda yang berjaya memberi tentangan sengit,” kata beliau. 

Tiga gol dalam tempoh tujuh minit menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (minit ke-31), Muhammad Marhan Jalil (minit ke-33) dan Nur Rahul Hrsikesa Thaichana Muruthi pada minit ke-39 memastikan UniKL terus mengungguli puncak Liga dan menjadi bekalan ke perlawanan penentuan menentang Maybank Khamis ini. 

“Ya, kami ada dua pilihan di tangan, samada terus menggenggam kejuaraan atau berputih mata terlepas peluang pada perlawanan terakhir nanti. Kami tidak memandang rendah Maybank atau pasukan lain, tetapi kami akan berhabis-habisan untuk mempertahankan kejuaraan,” kata beliau sambal menyifatkan kejayaan awal UniKL Ladies muncul juara Liga Wanita semalam juga menjadi penyuntik semangat pemain untuk menjulang Liga premier.  

Penjaring gol awal Harvinder Singh menganggap kesemua pasukan dalam kelompok empat teratas masih mempunyai peluang biar pun UniKL mempunyai kelebihan. “Maybank mempunyai barisan pemain berpengalaman dan muda yang mantap, jadi kami akan turun dengan strategi khusus,” kata beliau. 

THT 6 –  1 Nurinsafi HT 

Terengganu Hockey Team (THT) terus memberi tekanan dengan memastikan perhitungan juara liga dibawa sehingga ke perlawanan terakhir apabila mudah mengatasi Nurinsafi HT 6-1.

Kejayaan Faizal Saari menjaringkan hatrik pada minit pertama, ke-8 dan ke-45 hadir tepat pada masanya dan seharusnya menjadi pembakar semangat buat THT untuk berhadapan saingan penting pada Khamis ini menentang TNB. 

Jaringan hatrik itu menambahkan koleksi jaringan peribadi Faizal kepada 11 gol setakat ini yang meletakkan beliau sebagai calon utama menjulang anugerah penjaring gol terbanyak musim ini. 

Gol awal Faizal sebaik wisel pemula ditiup menjadi penyuntik semangat buat barisan THT menghasilkan gol menerusi Fitri Saari pada minit ke-24, Syarman Mat Tee (minit ke-32) dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi (minit ke-49). 

THT kekal di tangga kedua liga dengan 15 mata keseluruhan dengan jaringan paling banyak dengan 30 gol berbanding tujuh pasukan lain. 

Pengendali THT K. Rajan berkata matlamat pasukan ialah mengutip tiga mata tanpa memikirkan jumlah jaringan.

“Kami perlu berada pada tahap terbaik untuk berdepan perlawanan penting menentang TNB nanti,” kata beliau. 

Beliau menjangkakan perlawanan sengit menentang TNB yang mempunyai barisan pemain yang lengkap, pemain berpengalaman dan tenaga muda. “

Kami akan turun berhabis-habisan,” ujar beliau. 

Penjaring hatrik Faizal Saari pula berkata, beliau tidak terlalu memikirkan status sebagai penjaring terbanyak kerana mahu memastikan THT berjaya menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini. “Jika dinobat sebagi penjaring terbanyak, ianya satu bonus,” kata beliau.

UiTM 0 -0  TNB 

TNB terlepas peluang mengekalkan kedudukan tangga ketiga apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang UiTM.  Kegagalan anak didik Nor Azlan Bakar memecah kebuntuan menyukarkan apa juga peluang yang ada buat TNB selepas ini untuk mencabar kejuaraan musim ini. 

TNB berdepan tugas sukar mengekang kemaraan THT yang kini berada tahap terbaik dengan penjaring utama Faizal Saari kembali menemui sentuhan berbisanya. 

TNB gagal menyempurnakan peluang yang terhidang dan sering dikecewakan benteng kebal UiTM yang terlepas peluang mara ke Piala TNB selepas sekadar mengutip 7 mata, lima mata di belakang TNB. 

Jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar berkata: “Kami menguasai perlawanan dari awal dan akhir, peluang banyak  tapi gagal dalam penyudahan.”

“Menentang THT, memang tugas sukar tetapi kami akan fokus dan merangka strategi yang sesuai untuk perlawanan terkahir itu nanti,” kata beliau. 

Maybank 3 – 0 Sabah 

Maybank menundukkan Sabah 3-0  untuk melonjakkan kedudukan di tangga ke-3 Liga sekaligus memastikan tiket ke separuh akhir Piala TNB.

Kegagalan pesaing terdekat TNB yang sekadar seri tanpa jaringan menentang UiTM pada satu lagi perlawanan yang sekaligus membuka peluang buat Maybank untuk naik satu tangga seterusnya memberi harapan mencabar kedudukan THT pada perlawanan terakhir nanti. 

Muhammad Najimi sekali lagi menemui sentuhan apabila menajringan gol pembukaan pada minit ke-6, gol peribadi keenam beliau dalam Liga. 

Jaringan padang Meor Muhammad Azuan Hasan pada minit ke-34 dan Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin (minit ke-44) memastikan mata penuh Maybank. 

THT, yang turun menentang TNB pada perlawanan terakhir,  kini di tangga kedua dengan 15 mata. 

Maybank pasti turun berhabis-habisan untuk melakukan kejutan dalan saingan terakhir menentang pendahulu Liga UniKL sambil mengharapkan kejutan TNB ke atas THT. 

Pengendali Maybank, Azrul Effendy Bistamam: “Kita turun dengan sasaran untuk mengutip mata penuh, jaringan bukan sasaran kita. Secara keseluruhan, masih ada yang perlu diperbaiki termasuk pemulihan fizikal pemain menjelang perlawanan terakhir menentang UniKL.

“Menentang UniKL, saya yakin pemain muda saya mampu mencabar UniKL nanti,” kata beliau yang meletakkan sasaran (podium) tempat ketiga.

KEPUTUSAN PENUH:

UniKL 4 – 0  TNB Thunderbolts

UiTM 0 – 0  TNB (8 mlm) NHS 1

THT 6 – 1 Nurinsafi HT

Maybank 3 – 0 Sabah (8 mlm) NHS 2

JADUAL PERLAWANAN SETERUSNYA:
Khamis, 25 Mac 2021

UiTM vs Sabah (6 ptg) NHS 1

UniKL vs Maybank (6pm) NHS 2

TNB vs THT (8 pm) NHS 1

TNB Thunderbolts vs Nurinsafi HT (8pm) NHS 2

- Advertisement -