Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tidak akan menghalang sekiranya ada pemain yang membuat keputusan membatalkan kontrak dan meninggalkan pasukan gara-gara isu tunggakan gaji yang sedang membelenggu pasukan itu.
Ini susulan kenyataan salah seorang pemain senior mereka, Badhri Radzi yang memberi amaran kepada PFA agar menyelesaikan tunggakan gaji dengan kadar segera atau dia akan membuat keputusan angkat kaki.
Namun, Presiden PFA, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie masih berharap pemain-pemain akan terus bersabar meskipun mengakui pengurusan sudah beberapa kali ‘mungkir janji’.
“Saya faham apabila mereka sudah rasa tidak selamat, kita takkan halang, Perlis hanya mahukan seorang pemain yang betul-betul mahu bermain dengan sepenuh hati.
“Memang kita tidak dapat buat pembayaran seperti dijanjikan dan sudah memaklumkan kepada pemain mengenai kelewatan tersebut, tetapi kita sedang berusaha mencari jalan untuk melunaskan pembayaran gaji kepada mereka.
“Apapun, saya harapkan ini tidak menghalang fokus mereka untuk aksi bertemu UKM FC (pada 3 Februari) kerana ini perlawanan yang penting untuk kita,” ujar Amizal Shaifit.
Jawapan itu pastinya mengecewakan pemain-pemain kerana sebagai Presiden, Amizal Shaifit seharusnya memberi satu jawapan meyakinkan bahawa masalah ini boleh diatasi, bukannya memberi jawapan yang semakin menimbulkan keraguan mengenai kemampuan pihak pengurusan.
Apatah lagi, sewaktu membentuk pasukan bermula pada November lalu, Amizal Shaifit tidak sedikitpun menunjukkan kebimbangan mengenai perkara ini walaupun dia mengetahui PFA menanggung jumlah hutang yang cukup besar.
Malah dia sendiri menyatakan bahawa kekuatan kewangan yang dimiliki cukup untuk pasukan itu beroperasi tanpa masalah hingga akhir musim, justeru berbelanja mewah dengan merekrut pemain-pemain yang ada nama, selain menubuhkan pasukan Perlis II untuk bersaing di Liga M3.
Baru-baru ini, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali juga bersuara meminta PFA agar berpegang kepada janji menyelesaikan tunggakan gaji itu sebelum aksi pertama menentang UKM FC pada 3 Februari. MUHD AIMAN