low.beng.choo

Oleh Muhammad Aiman

Persiapan atlet Malaysia untuk bertanding di Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos depan berada di landasan tepat dengan Majlis Olimpik Malaysia menjangkakan kesemua  mereka  tidak akan berdepan masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan zon masa di Brazil.

Setiausaha Kehormat MOM, Dato’ Low Beng Choo menyuarakan keyakinan itu berasaskan kepada fakta bahawa hampir kesemua atlet dijadual menjalani latihan fasa akhir di luar negara serta venue yang mempunyai beza waktu hampir sama dengan Rio, selain ada pasukan yang akan bertolak lebih awal ke sana.

Tambahnya lagi, kebanyakan atlet sudah meninggalkan tanah air pada pertengahan Julai bermula dengan atlet dari sukan pelayaran, memanah, renang, terjun dan berbasikal justeru ianya bermakna kem latihan pusat akhir bagi kontijen negara juga tidak akan diadakan.

Bagaimanapun Beng Choo berkata MOM akan mengadakan taklimat kepada semua pengurus pasukan dan petugas media dari semasa ke semasa terutamanya mengenai virus zika serta langkah keselamatan yang wajar diamalkan sepanjang temasya sukan terbesar dunia itu berlangsung dari 5 – 21 Ogos depan.   

Mengenai tarikh penyerahan jalur gemilang kepada kontijen negara, Beng Choo memaklumkan ianya akan diadakan pada 28 Julai memandangkan itu sahaja tarikh yang mana paling ramai atlet olimpik dapat dikumpulkan.

Beng Choo ditemui pemberita setelah hadir merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) di Petaling Jaya pada Sabtu.

Pada AGM itu, tiada perubahan disaksikan pada semua jawatan utama dengan Ahmad Khawari Isa (Astro Arena) kekal sebagai presiden, Asan Ahmad (Kosmo) timbalan presiden, Norismadi Manap (RTM) dan Izahar Atan (Karangkraf) sebagai naib presiden, manakala Faisal Jamal (RTM) sebagai setiausaha agung.

Kesemuanya mengekalkan jawatan masing-masing dengan menang tanpa bertanding.  

- Advertisement -