Oleh Muhammad Aiman
Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) antara yang paling gembira dan berbangga dengan kejayaan pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2016, Rabu lalu. 
Kejayaan Siti Rahmah meneruskan gemilang dicipta Mohd Al Jufferi Jamari yang menjadi atlet silat pertama negara dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara ke-50 tahun lalu. 
Kali ini, kejayaan mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut membolehkan Siti Rahmah muncul pemenang dengan menewaskan lima pencabar lain iaitu Pandelela Rinong, Siti Zalina Ahmad, Tan Li Lian, Aaliyah Yong dan Sin Li Jane manakala Al Jufferi pula tercalon sebagai finalis.
Di sebalik berkongsi rasa gembira, Pesaka pantas mengingatkan Siti Rahmah agar tidak terbuai dengan kejayaan terbaru ini sebaliknya terus fokus dan menjadikannya ransangan untuk meningkatkan prestasi. 
“Jufferi dan Siti Rahmah memang layak, satu kerana mereka mempertahankan kejuaraan dunia tiga kali berturut-turut, iaitu selama enam tahun, tiga kali Sukan Sea serta menang di semua pertandingan disertai dan ini hanya boleh dilakukan oleh atlet luar biasa. 
“Dengan adanya kejayaan besar ini, saya harap Siti Rahmah tidak lena atau terbuai. Macam Jufferi Alhamdulilah selepas menang dia masih kekalkan prestasi, jadi Siti Rahmah dapat menang di penghujung kariernya jadi kita harap dia fokus dan tidak lari dari matlamat sebenar,” kata Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. 
Lebih menceriakan kem Pesaka, di majlis ASN ke-51 itu juga, Presidennya Tan Sri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan sebagai penghargaan di atas kejayaan melahirkan jaguh-jaguh silat dunia secara berterusan. 
Sementara itu, bagi Siti Rahmah, dia berjanji tidak akan menghampakan ekspetasi tinggi diletakkan ke atasnya justeru semangatnya kini berkobar-kobar untuk kembali turun ke gelanggang  selepas empat bulan berehat, bermula dengan Kejohanan Antarabangsa Terbuka Belgium bulan depan. 
Atlet kelahiran Terengganu itu mengalami kecederaan ibu jari kaki kiri ketika beraksi di final Kejohanan Dunia di Bali dan meskipun sudah lama tidak beraksi dia optimis dapat mengekalkan kejuaraan di Belgium.
Tahun lepas, Siti Rahmah menyumbangkan satu emas di Belgium setelah muncul juara kelas Putri E sekaligus membantu Malaysia pulang selaku juara keseluruhan dengan lapan emas.
- Advertisement -