Meskipun turun dengan status ‘underdog’ ditambah barisan pemain yang muda, kem Malaysia yang beraksi di Vantaa, Finland wajar diberikan pujian apabila mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Piala Sudirman 2021 selepas menundukkan Indonesia 3-2.

Kesemua lima wakil negara yang diberi tanggungjawab meraih mata untuk Malaysia bertarung sehingga hampir enam jam untuk mendapatkan slot empat terbaik sekaligus merupakan kemenangan pertama Malaysia ke atas Indonesia selepas tiga pertemuan dalam saingan Piala Sudirman.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memulakan langkah kanan meraih mata pertama untuk Malaysia selepas menewaskan pilihan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam perlawanan pertama, dengan straight set 21-12, 21-15.

Bagaimanapun dalam perlawanan kedua, juara perseorangan wanita Sukan SEA 2019 S.Kisona gagal menghadiahkan mata kedua negara selepas tumpas dalam aksi tiga set ke atas pemain nombor 21 dunia Gregoria Mariska Tunjung 20-22, 21-18, 19-21 dalam masa 67 minit.

credit photo : Badminton Photo

Lee Zii Jia yang juga, juara All England 2021 mempamerkan kehebatan dan menceriakan peminat badminton negara apabila berjaya menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting straight set 21-11, 21-16, ntuk kembali meletakkan Malaysia didepan 2-1 sekali gus mencatatkan kemenangan pertama beliau menundukkan pemain itu selepas empat pertemuan sebelum ini.

Seterusnya pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah jelas mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam aksi mereka, namun ia tidak cukup untuk mengenepikan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Pasangan Greysia-Apriyani bagaimanapun dipaksa bermain sehingga tiga set dan bermandi peluh sebelum memberi sinar harapan kepada Indonesia apabila menundukkan pasangan negara dengan 22-20, 17-21, 21-18.

Dalam perlawanan penentuan pasangan campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mempamerkan aksi hebat, untuk mengejutkan pilihan keempat dunia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, dengan kemenangan 21-19, 19-21, 21-16 untuk memuktamadkan kemenangan Malaysia.

Malaysia dijadualkan bertembung sekali lagi dengan pasukan Jepun di peringkat separuh akhir pada pukul 9 malam ini

- Advertisement -