Oleh Muhammad Aiman
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bangkit bergaya daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi pusingan pertama Piala Tan Sri P.Alagendra.
Aksi di Stadium Tun Razak menyaksikan TNB, naib juara tahun lalu, berada 2-0 di depan menerusi jaringan padang Ramadan Rosli pada minit kelapan, diikuti jaringan Azril Misron pada minit ke-35 namun gagal mempertahankan kelebihan itu.
Kebangkitan KLHC yang tersekat di peringkat suku akhir tahun lalu, bermula menerusi jaringan minit ke-42 oleh Haziq Samsul sebelum pemain import dari Jerman, Aaron Craig Kleinschmidt menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-50.
Rakan senegara, Anton Paul Fritz meledak jaringan kemenangan enam minit sebelum tamat permainan memastikan TNB berputih mata tersingkir awal, sekaligus membawa KLHC melangkah ke suku akhir dan bakal berdepan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
Dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung terdahulu, SSTMI yang berpangkalan di Bandar Penawar mara ke suku akhir setelah menewaskan Johor 3-0.
Sementara itu, aksi lain menyaksikan Pasukan Hoki Terengganu (THT) mara ke suku akhir setelah mencatat kemenangan 7-3 ke atas juara Divisyen Satu 2016, TNB Thunderbolts dengan pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun menjaringkan hatrik pada minit ke-18, 25 dan 35.
Gol lain buat skuad bimbingan Sarjit Singh itu dijaringkan Ismail Abu pada minit kedua, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit keenam dan Faizal Shaari menjaringkan dua gol pada minit ke-48 dan 59 manakala tiga jaringan Thunderbolts terhasil menerusi Muhammad Hazim (m-11), Idris Samad (m-21) dan Arif Shafie (m-47).
Di suku akhir, THT akan berdepan Politeknik Malaysia-KPT yang mengetepikan tentangan sengit wakil Pulau Pinang, Kelab Hoki Nurinsafi menerusi penentuan penalti selepas kedudukan masa sebenar terikat 4-4.
Pada perlawanan itu, Politeknik mendahului selesa 3-0 pada satu ketika menerusi jaringan Hwang Mah Gi (m-18), Oh Seyong (m-26) dan Zabad Rosli (m-37) namun Nurisafi menterjemahkan kebangkitan bermula dengan jaringan Bilal Qadir pada minit ke-40.
Empat minit terakhir menyaksikan aksi penuh dramatik dengan Nurinsafi berjaya mendapatkan dua gol pantas menerusi Nur Rahul Hrsikesa (m-56 dan 58) untuk mengikat kedudukan 3-3
Kedua-dua pasukan kemudiannya menjaringkan satu lagi gol pada minit akhir untuk keputusan 4-4 dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti. Nurinsafi yang diperkuatkan enam pemain dari Pakistan bagaimanapun gagal menyempurnakan peluang sekaligus membolehkan Politeknik melakar kemenangan penalti 3-1.
Dalam pada itu, UNIKL turut mara ke suku akhir, setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Uitm yang turun tempang setelah tidak dapat menurunkan dua pemain importnya dari India. Gol buat UNIKL bimbingan Arul Selvaraj dijaringkan pemain import dari Pakistan Mohamad Aleem pada minit ke-30 dan Ignacio Santiago Salas pada minit ke-50.
“Saya akui kita sedikit goyah pada perlawanan ini tetapi dalam perlawanan kalah mati, ianya keputusan akhir yang menjadi perkiraan. Saya membuat keputusan untuk membuat penggiliran pemain kerana dalam 24 jam kita akan bermain perlawanan suku akhir. Keseluruhannya saya berpuas hati tetapi kita masih perlu elakkan permainan bersahaja dan kurangkan buat kesilapan tidak sepatutnya,” ujar Arul.
Menanti UNIKL di suku akhir adalah Maybank yang mencatat kemenangan besar 8-1 ke atas Universiti Putra Malaysia-KPT.
Dua lagi pasukan yang melengkapkan slot suku akhir adalah Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). MBPJ mara setelah menewaskan TUDM-Rajawali 5-1 manakala SSBJ menyingkirkan PDRM 4-2.
Jadual Suku Akhir (7 Januari)
MBPJ lwn SSBJ (4 ptg, Stadium Hoki Kuala Lumpur)
THT lwn Politeknik-KPT (6 ptg, Stadium Hoki Kuala Lumpur)
UNIKL lwn Maybank (4 ptg, Stadium Tun Razak)
KLHC lwn SSTMI (6 ptg, Stadium Tun Razak)