Persoalan mengenai penyertaan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya sah berada di dalam barisan pemain negara untuk tugasan di Chengdu, China.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyenaraikan Ng Tze Yong yang mendapat pelepasan sementara oleh pasukan perubatan untuk beraksi dalam kejohanan berpasukan perprestij itu

Terdahulu, pemain profesional negara itu dilaporkan belum pasti menyertai skuad negara manakala Tze Yong pula masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan di bahagian belakang dialaminya sebelum ini ketika di Terbuka Malaysia.

Pemain pemain lain yang disenarai bagi perseorangan lelaki; Leong Jun Hao, Cheam Jun Wei dan Justin Hoh manakala gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kem beregu yang turut dibarisi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Muhammad Haikal Nazri.

Bagi Piala Uber, BAM menyenaraikan pemain wanita berpengalaman Goh Jin Wei dan K.Letshanaa bersama sama Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Goh Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse.

Malaysia yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan edisi 2024 itu diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Bagi saingan wanita pula, pasukan negara bakal berdepan tugasan berat dalam saingan Piala Uber 2024 apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

- Advertisement -