Biarpun baharu berusia setahun jagung, itu tidak menghalang kelab Petaling Jaya City FC (PJ City) serius menambah kekuatan penyokong terutama dalam kalangan komuniti Petaling Jaya.

Setiausaha PJ City S. Ganesh, beliau berpuas hati dengan jumlah penyokong kelab setakat ini namun masih berharap jumlah itu mampu ditingkatkan melalui teknik pemasaran yang akan dilakukan dari masa ke semasa.

Selain kekuatan penyokong, PJ City juga akan terus memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan pemain muda selepas prestasi memberangsangkan skuad Piala Presiden dan Piala Belia pada musim ini apabila masing-masing meraih kedudukan naib juara kumpulan untuk mara ke pentas suku akhir.

“Kelab ini masih baharu tetapi kita sudah ada penyokong sendiri, walaupun tidak boleh samakan dengan pasukan negeri sekurang-kurangnya ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan untuk kelab baharu seperti kami.

“Bermain di tempat sendiri atau laman lawan, kami ada sokongan daripada penyokong sendiri antara 300 hingga 500 orang dan bagi menambah lagi bilangan penyokong ke angka lebih baik, pasukan pemasaran kami sedang bekerja keras ke arah itu.

“Kami juga semakin aktif membuat aktiviti dengan pelajar-pelajar sekolah di sekitar bandar Petaling Jaya bagi mendapatkan penyokong daripada kalangan generasi muda.

“Prestasi di atas padang turut memainkan peranan dan kami harap mampu untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini untuk memikat lebih ramai peminat bersama kami, ” katanya.

Mengenai projek akar umbi melibatkan pemain muda, Ganesh menegaskan mereka telah memperuntukkan satu perbelanjaan yang begitu tinggi dan akan terus komited mencungkil bakat-bakat berpotensi.

“PJ City akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda seperti mana kami lakukan sekarang ini apabila secara peratusan perbelanjaan, kami mengeluarkan kira-kira 20 peratus bagi tujuan ini, ” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi taklimat mengenai Program Kawalan Ekonomi (ECP) bersama Malaysian Football League (MFL) dan Rakan Kongsi dalam Perkhidmatan Perlindungan Risiko PricewaterhouseCoopers(PwC), Jumaat lalu.

Mengenai ECP yang bakal dikuatkuasa musim depan, Ganesh mengalu-alukan langkah sedemikian diwujudkan kerana bakal memberi kesedaran kepada semua pasukan agar tidak terlalu menumpukan kepada soal gaji pemain semata-mata.

“Ini sememangnya satu langkah baik dan MFL sudah pasti ada cara tersendiri bagi memastikan ECP yang diambil dari formula La Liga untuk disesuaikan dengan Liga Malaysia.

“Perkara paling penting untuk dikawal ialah perbelanjaan gaji pemain yang saban tahun akan memakan kos yang tinggi dan selepas ini setiap pasukan tidak boleh memberi tumpuan semata-mata kepada aspek ini sahaja.

“Akan ada cadangan peratusan peruntukan tertentu yang mungkin sebelum ini kurang diberi perhatian seperti pembangunan pemain dan saya lihat ECP sememangnya satu alat terbaik mengawal perbelanjaan pasukan ke arah lebih seimbang, ” katanya.

- Advertisement -