100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Kejayaan melangkah ke final Piala FAM menghadiahkan tiket beraksi di 100PLUS Liga Premier 2017 buat dua pasukan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Dalam aksi separuh akhir kedua berlangsung pada Ahad, PKNP bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk merakam kemenangan dramatik 3-2 (agregat 3-2) ke atas Felcra FC manakala MISC-MIFA pula menyingkirkan AirAsia All Stars FC dengan kemenangan tipis 1-0 (agregat 2-1).

Perlawanan di Arena Universiti Malaya menyaksikan tuan rumah Felcra terlebih dahulu di depan menerusi jaringan kapten pasukan Fadzly Shaari pada separuh masa pertama, namun PKNP bangkit menyamakan kedudukan menerusi Hamizul Izaidi Zulkifly dan kemudiannya mendahului 2-1 hasil jaringan G.Mugenthiran.

Tidak mengalah, skuad bimbingan Yusri Che Lah itu kembali mengikat kedudukan 2-2 sekaligus menjadikan perlawanan bertambah rancak namun ianya PKNP yang berjaya mendapatkan jaringan kemenangan pada babak akhir permainan sekali lagi menerusi sentuhan Mugenthiran.

Kekalahan menyaksikan Yusri gagal mengulangi pencapaian cemerlang musim lalu apabila dia membawa Perlis layak ke Liga Premier 2016 setelah muncul naib juara Piala FAM pada musim pertamanya selaku jurulatih.  

Sementara itu, gol tunggal M. Sathish pada minit ke-68 sudah memadai buat MISC-MIFA mengecewakan The Red Jets di Stadium Shah Alam.  

Jurulatih, Jacob Joseph berkata, “Faktor utama kemenangan ini adalah yang pertamanya MIFA tidak begitu menonjol, kedua kerjasama sepasukan dan semangat melawan yang cukup tinggi. Berbanding AirAsia yang mempunyai pemain berpengalaman luas, pernah beraksi di Liga Perdana, Super malah ada yang pernah bermain dengan Malaysia.

“Jadi ini menyebabkan pemain bersemangat mahu membuktikan sesuatu dan memburu jaringan. Di separuh masa kedua saya membuat beberapa pertukaran dan ia membantu kita beraksi dengan lebih baik. Keseluruhannya saya boleh katakan kita telah mengharungi satu musim mencabar dan saya gembira dengan kejayaan layak ke Liga Perdana  ini.”    

Aksi final secara timbal balik antara PKNP dan MISC-MIFA akan berlangsung pada 20 dan 27 Oktober depan.      

- Advertisement -