Pengendali PKNS FC, Datuk K.Rajagobal optimis pasukannya dapat membuka kempen Liga Super 2018 dengan langkah kanan apabila mereka turun menentang Terengganu FC I (TFCI) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu ini.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, barisan pemainnya telah menunjukkan peningkatan yang cukup positif sepanjang kempen pra-musim justeru motivasi dan keyakinan pemain berada dalam tahap terbaik ketika ini.    

“Saya mahukan satu pencapaian yang lebih baik dari musim lalu dan untuk itu kita perlu bermula dengan positif. Saya percaya pra-musim telah menjadikan skuad ini lebih baik dari segi pemahaman mereka mengenai apa yang saya mahukan dan keserasian antara pemain.

“Fokus saya adalah dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan buat masa ini fokusnya adalah Terengganu. Bermain di tempat lawan tidak seharusnya menjadi satu masalah dan saya akan sediakan sebuah skuad yang terbaik. Apa sekalipun, kita tidak boleh terlalu yakin kerana Terengganu juga akan turun dengan misi sama, yang penting bermain tanpa tekanan,” kata Rajagobal.

Tambah bekas jurulatih kebangsaan itu, kehadiran pemain import baru Rafael Ramazotti juga merupakan satu suntikan kepada pasukan kerana pemain itu adalah seorang yang klinikal di depan gol dan mempunyai rekod jaringan yang baik bersama bekas pasukannya DPMM FC ketika bermain di Liga Singapura selama tiga musim.  

Rajagobal ditemui Sports247 selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain PKNS FC pada Khamis. Mereka mengekalkan warna oren sebagai jersi pertama, biru sebagai jersi kedua dan kuning sebagai jersi alternatif.

Dalam pada itu, Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata pengurusan pasukan menetapkan sekurang-kurangnya satu piala dapat dijulang. Keyakinan itu bersandarkan kepada adanya barisan pemain serba mantap di semua posisi selain kehadiran pemain import dan tempatan yang berkualiti.

“Pemain-pemain yang kita ambil muda dan bertenaga, jadi ini satu kelebihan buat kita. Selain itu dengan pengalaman luas ketua jurulatih, sasaran satu piala adalah tidak mustahil. Jika mendapat slot beraksi di Piala AFC, itu adalah bonus buat pasukan,” katanya.  OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -