Majlis pecah tanah bagi pembinaan ibu pejabat baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Presint 5, Putrajaya ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini sambil disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Bangunan baharu FAM ini akan dibina setinggi lima tingkat dan terletak bersebelahan ibu pejabat Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Bandar Bola Sepak Putrajaya. FAM yang berpangkalan di Wisma FAM di Kelana Jaya sejak 1980, dijangka memindahkan semua operasi dan tadbir urus ke ibu pejabat baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada awal 2025.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Ismail Sabri berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.

“Majlis pecah tanah hari ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana menyediakan pelbagai fasiliti. Namun begitu, seperti juga mana-mana organisasi kerajaan mahupun bukan kerajaan, pembangunan perisian atau software dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara,” katanya.

Datuk Haji Hamidin pula menyifatkan majlis pecah tanah itu sebagai satu manifestasi kepada cetusan ilham Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang bercita-cita mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), AFF dan FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak Asia.

“Apabila Almarhum Tuanku mengambil keputusan tidak meneruskan tampuk kepimpinan FAM pada 2014, saya sedar bahawa bola sepak negara sudah kehilangan seorang tokoh yang benar-benar menjiwai bola sepak, ikon yang sentiasa menjadikan bola sepak sebagai ejen penyatuan dan meletakkan kepentingan dan maruah negara lebih daripada segalanya.

“Atas kesedaran ini dan bersulamkan tanda kasih serta menjunjung jasa Almarhum Tuanku, maka saya mengusulkan kepada FAM membeli tanah yang dimaksudkan dalam perancangan asal Almarhum Tuanku bagi memulakan usaha menjadikan impian Baginda satu realiti. Kepimpinan yang diterajui oleh Seri Paduka Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memberi perkenan kepada cadangan tersebut dan seterusnya disokong oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Alhamdulillah, selepas saya diberi mandat untuk memimpin FAM, agenda membangunkan projek ini dijadikan antara sasaran utama bilamana ibu pejabat sedia ada tidak lagi mampu memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden,” katanya.

Ibu pejabat FAM akan dibina di atas tanah seluas 3 ekar, manakala baki 3 ekar dibangunkan oleh pemaju One Lagoon Development Sdn Bhd dengan usahasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membangunkan projek apartmen servis. Bangunan FAM itu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan pejabat, auditorium, bilik seminar, dewan pemasyhuran, kedai barangan FAM serta gelanggang futsal.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria.

Selain ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, FAM sedang dalam proses untuk membina Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang dikhususkan buat skuad Harimau Malaya di presint yang sama.

- Advertisement -