
Berakhir sudah saingan Liga Super musim ini dengan penyudah cukup dramatik yang menyaksikan Kelantan mengecewakan Sarawak untuk terus kekal bersaing di liga utama bolasepak tanah air itu pada hari terakhir.
Kini, persiapan awal untuk musim baru sudahpun giat dilakukan beberapa pasukan malah jangan terkejut seandainya ada perpindahan berlaku dalam tempoh kurang seminggu saingan Liga Malaysia menutup tirai secara rasmi pada 4 November nanti.
Selain membawa masuk pemain-pemain baru, seperti kebiasaan akan ada pasukan yang menukar khidmat ‘kemudi’ utama – ketua jurulatih bagi menyuntik nafas dan sentuhan baru seterusnya meningkatkan prestasi pasukan.
Malah mungkin juga ada pasukan menukar jurulatih tanpa sebab sepertimana dilakukan Melaka United musim lalu, apabila mereka menamatkan khidmat Mat Zan Mat Aris yang membawa mereka menjulang trofi Liga Premier dan menggantikannya dengan Eric Williams.
Antara pasukan yang sah akan mencari pengendali baru adalah Kelantan yang telahpun merehatkan Zahasmi Ismail bermula bulan ini serta PKNS FC yang tidak mengambil jurulatih baru sejak memecat E.Elavarasan pada Julai lalu, selain pasukan-pasukan dari Liga Premier.
Bekas jurulatih The Red Warriors, Velizar Emilov Popov dikaitkan sebagai antara calon utama untuk kembali mengemudi pasukan itu walaupun mereka turut mempunyai pilihan lain dalam kelibat penolong jurulatih Sathit Bensoh yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang ketika aksi terakhir menentang Melaka United.
Di kem PKNS pula nama yang hangat dikaitkan adalah bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal yang tidak membimbing mana-mana pasukan sejak meninggalkan Sarawak pada pertengahan tahun lalu dan dilihat bersedia untuk kembali.
Malah Rajagobal yang pernah menyarung jersi PKNS ketika zamannya selaku pemain dikatakan sebagai pilihan utama berbanding beberapa nama lain yang telah disenaraipendek oleh pengurusan kelab finalis Piala FA 2016 itu.
Siapapun yang dibawa masuk, sama ada pengendali tempatan atau import, tiada nama atau berprofil tinggi, sasaran yang diletakkan pihak pengurusan pastinya tinggi apatah lagi musim 2018 menjanjikan saingan yang lebih mencabar.
Dalam masa sama kita mengharapkan musim baru nanti tiada lagi berulang isu seperti jurulatih direhatkan dan digantung tak bertali atau adanya konspirasi di kalangan pemain untuk singkirkan jurulatih tertentu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN