paralympicsOleh Ku Mohd Lufti

Selain RM1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro 2016 bakal turut diraikan dengan pemberian sebuah kereta utiliti sukan (SUV), Kia Sportage sumbangan Naza Corporation Holding.

Ganjaran itu diumumkan Pengerusi Eksekutif, juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, SM Nasarudin SM Nasimuddin menerusi satu kenyataan dari Brazil sejurus menyaksikan lagu Negaraku dua kali berkumandang di bumi Rio pada Ahad.

“Saya cukup berbangga dengan atlet paralimpik Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas. Sebagai sebuah syarikat tempatan, NAZA akan menghadiahkan atlet-atlet Malaysia yang memenangi pingat emas dengan sebuah kereta Kia Sportage serba baru,” kata Nasarudin yang juga merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Tahun ini adalah tahun pertama Nasarudin menerajui MPM setelah dipilih menggantikan Datuk Zainal Abu Zarin dan beliau menyatakan pencapaian pemenang pingat emas ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada atlet-atlet lain, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Atlet paralimpik kita membuktikan kemampuan  mereka di sebalik berdepan pelbagai kesukaran. Inilah caranya bagaimana kita menunjukkan Malaysia Boleh!,” katanya.

Atlet paralimpik Malaysia mencatat sejarah di Rio apabila buat pertama kalinya meraih pingat emas – emas pertama hadir menerusi Ridzuan Puzi dari acara pecut 100m T36 (celebral palsy) manakala Ziyad Zolkefli menghadiahkan emas kedua dari acara lontar peluru F20 (masalah intelektual).

Ridzuan mengesahkan kemenangan dengan catatan rekod baru temasya, 12.07s mengatasi rekod lama 12.25s dilakar atlet Ukraine, Roman Pavlik di Beijing 2008.

Sementara Ziyad pula, melakukannya dengan cukup sensasi, dua kali memperbaharui rekod dunia. Setelah memadam rekod 16.29m milik Todd Hoggets yang bertahan sejak 2007 menerusi lontaran pertama 16.40m, Ziyad mengesahkan emas dengan lontaran 16.84m mengatasi rekodnya sendiri. 

- Advertisement -