SELANGOR mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Kedah pada aksi hari ketiga Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pagi ini. 

Kemenangan itu meletakkan Selangor di puncak dengan 6 mata diikuti Kedah, yang sebelum ini menumpaskan Perak 4-1, untuk menghuni kedudukan kedua selepas dua perlawanan. 

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan yang sama, Perak dan PDRM gagal mencatat kemenangan pertama selepas terikat 1-1. PDRM terlebih dahulu mendahului menerusi Norhafizah Razali (minit ke-6) sebelum Nur Zuha Qistina Ridzuan menyamakan kedudukan buat Perak pada minit ke-52.

Kedua-dua Perak dan PDRM tiada pilihan lain kecuali menang pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya. 

Nurul Safiqah Mat isa menjadi srikandi pasukan pabila menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit (ke-39 dan 41) pada suku ketiga permainan, gol peribadi keempat buat pemain itu setakat ini. 

Hanya lima minit dalam permainan, Nur Idrina Asnida Mohd Yusmi meletakkan Selangor di depan sebelum Nur Insyirah Effarizal mengukuhkan kedudukan pasukan menerusi jaringan padang pada minit ke-29.

Selangor dijangka tidak berdepan masalah bertemu Perak pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan Ahad ini manakala Kedah perlu menang apabila bertemu PDRM untuk layak ke pusingan seterusnya. 

“Saya puas hati dengan prestasi pemain walaupun bermula agak perlahan, mungkin disebabkan masa perlawanan yang terlalu awal. Begitu pun, pemain kekal fokus dan berjaya menguasai permainan pada suku ketiga dan keempat,”kata jurulatih Selangor Ikmal Abdul Jabar. 

Sementara itu, Pulau Pinang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas meraih kemenangan besar 6-1 ke atas Terengganu untuk  mendahului kedudukan Kumpulan C dengan 6 mata penuh. 

Namun, Pulau Pinang terpaksa menunggu hingga suku kedua sebelum membolosi gol Terengganu menerusi jaringan padang Siti Nur Atika Shaikh Maznan pada minit ke-19. 

Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad meletakkan diri antara penjaring terbanyak kejohanan setakat ini apabila mencatat hatrik (minit ke-43, 53 dan 54) untuk membantu kemenangan besar Pulau Pinang.  Allisya Yushira Badri (minit ke-26) dan Nuraida Zulaikha Pauzi melengkapkan kemenangan buat skuad Pulau Mutiara itu. 

“Secara keseluruhan, kami bermain baik sebagai satu pasukan dan syabas kepada pemain muda kami yang nyata tidak gentar dan tidak terlalu bergantung kepada empat pemain senior untuk menyaingi lawan. Tetapi, perlu lebih fokus dan tajam untuk perlawanan seterusnya,” kata ketua pasukan  Pulau Pinang Putri Nurbatrisya Nornawawi. 

Terengganu kekal di kedudukan kedua tetapi perlu memastikan kemenangan ke atas Kuala Lumpur selepas ini jika berharap layak ke pusingan seterusnya.  

Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur, yang dibimbing jurulatih A. Kannagi, gagal mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan apabila sekadar seri 1-1 dengan Sarawak. 

Sarawak terlebih dahulu di depan menerusi Elizaberth Epui anak Martin pada minit ke-34 sebelum Nurazlin Sumantri menjadikan kedudukan seri menerusi jaringan penalti siudut pada minit ke-41. 

Kegagalan menyempurnakan beberapa peluang di depan gol termasuk dibayar dengan harga yang tinggi dan Kuala Lumpur tiada pilihan selain menang ke atas Terengganu Isnin depan sekiranya mahu ke pusingan seterusnya. 

 

Jadual Perlawanan (Ahad, 14/11/21)

Kumpulan A (7.30 pagi) 

NHS 1 : Melaka mlm Pahang

NHS 2 : Negeri Sembilan mlm Sabah

 

Kumpulan B (9.30 pagi)

NHS 1 : Perak mlm Selangor

NHS 2 : PDRM mlm Kedah

- Advertisement -