Oleh Muhammad Aiman

Saingan Piala Tun Sharifah Rodziah yang akan berlangsung dari 6 – 15 April depan di Miri, Sarawak adalah platform terbaik untuk memilih pemain-pemain berkualiti untuk mewakili negara di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Norhuda Ahmad berkata, “Ini satu landasan terbaik kerana sepertimana diketahui di peringkat tempatan ini kita tiada banyak kejohanan sebagai pendedahan buat mereka.

“Baru-baru ini telah berlangsung Liga Bolasepak Rakyat Wanita dan kini PTSR, kita harap mereka akan memanfaatkan sebaiknya peluang untuk mempamer aksi terbaik bagi membolehkan kita mengenalpasti pemain-pemain yang berwibawa.

“Saya juga mengharapkan di masa akan datang lebih banyak pasukan akan mengambil bahagian di kejohanan ini. Kami memerlukan sokongan padu daripada semua pihak untuk memajukan dan mengangkat lagi martabat  bolasepak di kalangan wanita.”

Kejohanan edisi kali ini akan membabitkan penyertaan 12 pasukan, termasuk dua pasukan baru iaitu Kelantan dan Melaka. Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 kepada pasukan juara, RM10,000 kepada naib juara dan RM5,000 kepada pasukan tempat ketiga.

Ini juga pertama kalinya PTSR dipertandingkan di luar semenanjung Malaysia sejak diperkenalkan pada 1976 justeru Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Amin dalam teks ucapannya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia yang menyahut cabaran menjadi tuan rumah

Untuk rekod, dalam edisi tahun lalu pasukan berstatus kelab MISC-MIFA muncul juara buat kali kedua berturut-turut setelah menewaskan Sabah 3-2 di Universiti Utara Malaysia, Kedah.

- Advertisement -