Oleh Muhammad Aiman

Malaysia sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal, Manila, pada Rabu.

Ia adalah aksi pertama buat kedua-dua pasukan setelah ditunjukkan jalan keluar seawal peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF Suzuki, Disember tahun lalu.

Bagi pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee dia berpendapat ia adalah keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan.

“Ia sentiasa satu perlawanan yang sukar untuk menentang Filipina, tetapi untuk mencatat keputusan seri di gelanggang lawan, menentang pasukan yang rankingnya jauh lebih baik dari kami, saya tidak akan kata ianya keputusan yang mengecewakan.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang masing-masing, Filipina menguasai babak pertama dan kami cuba memberi tentangan di separuh masa kedua. Sudah tentunya sentuhan penyudah perlu dipertajamkan tetapi saya perlu memberi pujian kepada pemain-pemain pertahanan saya.

“Mereka bertahan dengan baik, menunjukkan disiplin tinggi walaupun Filipina memberikan tekanan hebat. Bukan sahaja pertahanan tetapi juga pemain tengah yang berjaya mengimbangi kekuatan pasukan tuan rumah.”

Untuk rekod, ini adalah keputusan seri tanpa jaringan ketiga berturut-turut di antara Malaysia dan Filipina dan melebarkan rekod tanpa menang Malaysia ke atas pasukan The Azkals itu kepada 11 perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Kim Swee menggandingkan Shahrom Kalam, Ronny Harun, Rizal Ghazali dan Khair Jeffry Jones di pertahanan, manakala Shahrul Saad, Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon pula membentuk barisan tengah.

Amri Yahyah, Safee Sali dan Ahmad Hazwan Bakri mengetuai rangkaian serangan tatkala posisi penjaga gol pula menjadi milik Khairul Azhan Mohd Khalid.

“Khidmat pemain-pemain senior seperti Amri, Safee, Shahrom dan Ronny masih kita perlukan dan mereka boleh membimbing pemain-pemain muda,” kata Kim Swee lagi.

- Advertisement -