Dato’ Seri Subahan Kamal mengesahkan telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan akan memaklumkan keputusannya itu kepada ahli gabungan FAS pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Khamis ini.

Menurut Subahan, antara faktor membawa kepada pengundurannya adalah kerana terikat dengan pelbagai komitmen lain termasuk sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia. Namun beliau berkata sebelum berundur, segala tunggakan perbelanjaan akan diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya mahu memberi tumpuan bagi membantu skuad Hoki Malaysia layak ke Olimpik Tokyo 2020. Selain komitmen dalam sukan, saya juga perlu memberi tumpuan kepada perniagaan. Saya akan terus menyokong Selangor sebagai seorang peminat setia, terima kasih kerana telah memberi saya peluang,” kata Subahan yang mula memegang jawatan presiden FAS sejak Februari tahun lalu.

Turut melepaskan jawatan adalah timbalannya, Datuk Seri Shahril Mokhtar. FAS perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk memilih presiden dan timbalan yang baru.

Antara calon yang hangat dikaitkan untuk menjadi peneraju baru FAS adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sarafuddin Idris Shah yang diketahui sebagai seorang yang begitu meminati bolasepak malah pernah beberapa kali berkongsi pandangan secara terbuka mengenai langkah pembaharuan yang perlu diambil di dalam usaha memulihkan semula bolasepak negeri Selangor.

Malah beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab mengilhamkan penganjuran Selangor Champions League bagi meningkatkan standard bolasepak komuniti dan memperkasa pembangunan.

Sementara itu, Subahan turut menjelaskan bahawa dia sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan sebuah kelab Liga Perdana Inggeris yang mahu membina jenama mereka di rantau ini mengenai prospek kerjasama dan berupaya membantu Selangor daripada segi kewangan justeru bersedia membantu siapapun presiden baru yang dilantik untuk meneruskan rundingan kerjasama tersebut. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -