pahang.celebrate

Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Pahang, Razip Ismail menunggu restu pengurusan untuk membawa masuk pemain import baru bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu dalam baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia yang akan bersambung bulan depan.    

Pintu perpindahan kedua Liga Malaysia akan dibuka bermula Isnin, 20 Jun hingga 15 Julai depan dan Pahang dijangka melakukan rombakan besar terutama pada barisan pemain importnya iaitu Zesh Rahman, German Pacheco, Dalibor Volas dan Nejc Potocar yang tidak menunjukkan prestasi sepertimana diharapkan.

Selepas memberi cabaran sengit dan muncul naib juara kepada JDT dalam saingan Liga Super musim lalu, Pahang mengharungi musim penuh kontra kali ini apabila terperosok di tangga ke-11 dari 12 pasukan Liga Super dengan hanya mengumpul sembilan mata.

Ketika ini, Faisal Shayesteh dari Afghanistan dan Pablo Vranjican dari Argentina sedang melalui tempoh percubaan bersama Tok Gajah dan Razip telah memanfaatkan cuti panjang Liga-M untuk menguji pemain tersebut termasuk menerusi tiga perlawanan persahabatan di Jelajah Singapura minggu lalu.

“Saya percaya kita telah mendapat manfaat dari kunjungan ke sana (Singapura). Memang saya perlukan pilihan lain terutamanya bagi tenaga import. Pemain-pemain yang diuji berjaya untuk memikat saya tetapi saya tidak boleh buat sebarang keputusan selagi tidak mendapat lampu hijau dari pengurusan,” ujar bekas pengendali Harimau Muda B itu.

Di Jelajah Singapura tempoh hari, Pahang tewas 1-2 kepada Geylang United pada aksi pertama namun bangkit mencatat kemenangan dalam dua perlawanan berikutnya menentang Eunos Crescent (5-2) dan Polis SA (5-3).

Pahang juga telah melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia yang dijadual berlangsung serentak pada Julai depan dan diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Selangor, juara 2012 Kelantan dan Kuala Lumpur.

- Advertisement -