foto – Northern Lions Perlis

 

 

Kehadiran CIMB sebagai salah satu rakan penaja utama Liga Malaysia pada musim 2020 mampu membuka mata serta menarik lebih banyak lagi perhatian syarikat korporat terhadap potensi besar Liga Malaysia di masa akan datang.

Bekas penyerang skuad kebangsaan yang kini beraksi di PJ City FC, Safee Sali mengakui cukup teruja apabila mengetahui CIMB yang merupakan salah sebuah syarikat perbankan terkemuka di negara ini membuat pelaburan dengan menaja Liga Super selama dua musim sehingga 2021.

Dia juga berharap dengan kehadiran CIMB, situasi itu akan menjadi titik permulaan kepada masa depan yang lebih cerah kepada Liga Malaysia selepas berjaya mendapatkan Telekom Malaysia (TM) selaku penaja utama selama tiga tahun.

“Kerjasama MFL dan CIMB saya rasakan sangat baik kerana secara tidak langsung imej Liga Malaysia dilihat gah di mata peminat dengan adanya nama penaja pada pertandingan Liga Super.

“Saya sendiri tidak sangka CIMB sudi menaja Liga Malaysia kerana ini pertama kali mereka bersama liga bola sepak negara memandangkan mereka cukup sinonim dengan sukan lain seperti golf.

“Saya harap kehadiran CIMB selaku penaja akan meletakkan liga Malaysia ke satu tahap lebih tinggi dan berprestij di mata peminat bola sepak tanah air.

“Bagi kesan jangka panjang, saya harap akan menarik banyak syarikat besar yang bertaraf antarabangsa untuk sama-sama membantu liga bola sepak negara malah saya harapkan untuk beberapa pertandingan seperti Piala FA dan Liga Premier turut akan ada penaja utama, ” katanya ketika dihubungi.

Turut senada dengan Safee ialah pemain tengah Negeri Sembilan, Mohd. Aiman Khalidi yang juga merupakan produk kelab CIMB-YFA sebelum beraksi dengan skuad Hoben Jang Hoben di pentas Piala Presiden.

Tambahnya, dia cukup berbangga melihat sebuah syarikat yang telah membantu perkembangan bola sepaknya sejak berusia 13 tahun kini menjadi antara nadi utama kepada penggerak kepada Liga Malaysia.

“Saya tidak jangka CIMB akan jadi penaja utama kepada saingan Liga Super dan selaku pemain ini satu perkembangan yang positif kepada perkembangan Liga Malaysia serta menyemarakkan lagi semangat kami.

“CIMB sebenarnya telah lama membantu perkembangan bola sepak di akar umbi dan buktinya ialah saya yang kini bergelar pemain bola sepak profesional selepas dibantu mereka semasa membesar di Kuala Lumpur.

“Kini apabila mereka menjadi penaja pula, saya secara tidak langsung turut gembira dan harap sokongan ini akan diteruskan untuk satu tempoh masa yang panjang, ” katanya.

Pada Isnin lepas, CIMB Group Holdings Berhad atau Kumpulan CIMB telah menandatangani perjanjian penajaan dengan Malaysian Football League (MFL) sebagai penaja utama bagi saingan liga elit tempatan, iaitu CIMB Liga Super serta perlawanan pembuka tirai, CIMB Piala Sumbangsih.

CIMB juga menjadi Bank Rasmi untuk Liga Malaysia termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup.

- Advertisement -