Lengkap saingan 100PLUS Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2018 bagi kategori bawah 14 tahun dan 17 tahun sekaligus menoktahkan lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir Liga Piala KPM tahun ini.

Bagi bawah 14 tahun, juara Liga Super 2018 milik Sekolah Sukan Malaysia Pahang ‘A’ sementara SMK Za’ba memastikan sejarah dilakar apabila memperbaharui pencapaian edisi lalu dengan menamatkan musim ini ditangga kedua.

Ia dibantu dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas SMK Bukit Nenas dalam aksi terakhir liga sekaligus memastikan skuad kendalian Hakimi Ramli mengumpul 29 mata, berkelebihan tiga mata didepan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang menduduki tangga ketiga.

“Kita mengimpikan kemenangan untuk perlawanan terakhir untuk pastikan rentak kemenangan sekaligus menduduki tangga kedua,”kata Hakimi.

Gol gol SMK Za’ba hanya terhasil dibabak kedua perlawanan selepas kedua dua pasukan buntu memecah kebuntuan di separuh masa pertama.

Farid Danish Ridzuan membuka tirai gol di minit 37 sebelum Muhd Fakhri Azri Khairi Anuar melebarkan kedudukan untuk tuan rumah 10 minit berselang disusuli Muhd Miqhael Muzaini memastikan kemenangan mutlak untuk SMK Za’ba.

Mengiringi SMK Za’ba ke saingan suku akhir adalah  SMK Seri Kota (Melaka), SSMP B13 ‘A’, SMK Bukit Indah (Johor),  dan SMK Syed Hassan.

“Untuk peringkat suku akhir cukup menarik kerana himpunan pasukan pasukan terbaik dalam Liga KPM bawah 14 Tahun. Jujur saya kata sebelum liga bermula, kami memasang impian untuk muncul juara liga dan Piala,” kata Hakimi lagi.

SSMP B14 ‘A’ dan SSTMI tidak beraksi di peringkat suku akhir Liga Piala KPM berdasarkan Perkara 3.19.2 (iii) Peraturan Pertandingan Liga KPM dan Perkara 2.3 Peraturan Khas Pasukan Jemputan.

Manakala tiga pasukan daripada Liga Perdana yang mara ke saingan suku akhir Liga Piala KPM adalah SMK Putera (Kelantan), SMK USJ 11 (Selangor) dan SMK Ibrahim Fikri (Terengganu).

Sementara itu, persaingan bagi kategori bawah 17 tahun tidak kurang menarik.

SMKM Za’ba dinobat selaku juara Liga Super manakala SSMP B15 ‘A’ muncul pasukan ditangga kedua manakala SMK Bukit Nenas (Terengganu), SMK Presint 14 (1), dan SMK Mutiara Impian (Pulau Pinang) melengkapkan lima pasukan teratas sekaligus beraksi di peringkat suku akhir.

Bagi saingan Liga Perdana pula milik SMK Seberang Temerloh (Pahang) yang muncul juara liga sementara dua pasukan, SMK Gunung Rapat (Perak) dan SSMP B15 ‘B’ layak beraksi di peringkat suku akhir.

Untuk rekod, lima pasukan teratas daripada Liga Super dan tiga pasukan teratas bagi Liga Perdana layak secara automatik ke perlawanan suku akhir Liga Piala KPM.

 

JADUAL SUKU AKHIR LIGA PIALA KPM

BAWAH 14 TAHUN

 

SMK Za’ba lwn SMK USJ 11

SSMP B13 ‘A’ lwn SMK Seri Kota

SMK IBrahim Fikri lwn SMK Bukit Indah

SMK Putera lwn SMK Syed Hassan

 

BAWAH 17 TAHUN

SMK Za’ba lwn SSMP B15 ‘B’

SSMP B15 ‘A’ lwn SMK Mutiara Impian

SMK Gunung Rapat lwn SMK Bukit Nenas

SMK  Seberang Temerloh lwn SMK Presint 14 (1)

 

NOTA: Kesemua perlawanan berlangsung pada Sabtu, 6 Oktober 2018

- Advertisement -