Pemain TNB Amir Farid cuba melepasi halangan pemain KLHC dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium KLHA pada Ahad. Perlawanan berakhir seri 2-2.

Oleh Muhammad Aiman

Sapura melonjak ke kedudukan teratas Divisyen Perdana TNB-Liga Hoki Malaysia setelah menewaskan juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) 2-0 di Stadium Tun Razak pada Ahad.

Gol buat skuad bimbingan Yahya Atan dijaringkan menerusi pukulan sudut penalti pemain kebangsaan Firhan Ashaari pada minit ke-23 sebelum Oscar William Bookey menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Sapura mendahului liga dengan mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan manakala Terengganu yang mengalami kekalahan kedua mereka tergelincir ke tangga keempat dengan hanya empat mata.

“Ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana Terengganu dengan begitu ramai pemain kebangsaan merupakan sebuah skuad yang cukup mantap. Tapi kita buktikan kita tidak gentar berdepan sesiapa dan berjaya terbalikkan ramalan di atas kertas,” ujar Yahya.

Dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur, TNB menampilkan satu lagi aksi bertenaga apabila bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat juara Piala Sumbangsih, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 2-2.

KLHC yang diperkuatkan enam pemain import mendahului 2-0 menerusi jaringan padang Pedro Lopez Alonso pada minit kelima dan pukulan sudut penalti cantik Hyun Nam Woo yang menewaskan S.Kumar pada minit ke-39.

Namun TNB yang membariskan sepenuhnya pemain tempatan, menafikan hasrat KLHC mengutip tiga mata menerusi kebangkitan di lewat permainan hasil jaringan Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan (m-53) dan Firdaus Omar (m-60).

Ia adalah satu lagi keputusan mengagumkan buat TNB setelah mengikat THT 4-4 baru-baru ini dan jurulatihnya, Amin Rahim berkata, “Pemain saya memberikan tentangan yang cukup sengit pada penghujung perlawanan dan jika masa masih panjang mungkin kami boleh menewaskan mereka.

“Apapun, saya gembira dengan keputusan ini, ia membuktikan kami boleh beraksi baik menentang pasukan yang kuat. THT dan KLHC adalah dua pasukan kuat, mencuri mata dari mereka sudah tentunya satu bonus bagi kami.”

Manakala jurulatih KLHC, Harun Al-Rahid Samri mengakui kelekaan barisan pertahanan sekali lagi menghukum pasukannya setelah turut mencicirkan mata ketika seri 1-1 menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada Jumaat lalu.

“Kami tidak boleh leka apabila mendahului dengan dua gol dan sepatutnya fokus sepanjang perlawanan. Pemain memberi terlalu banyak ruang kepada lawan, ianya kesilapan sendiri yang membenarkan mereka kembali dalam permainan. Kami kehilangan dua mata dan ia satu kerugian besar.”

Dalam perlawanan lain, Maybank bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan UniKL 2-1.

- Advertisement -