Pemandu Formula One, Lewis Hamilton menolak spekulasi berhubung penghijrahannya ke pasukan Ferrari.

Jelas pelumba berusia 35 tahun itu, Mercedes AMG Petronas merupakan pasukan impiannya.

Juara dunia enam kali itu menjawab laporan media yang mendakwa beliau bakal berhijrah ke pasukan Ferrari yang dikhabarkan sanggup untuk berbelanja besar bagi mendapatkan Lewis Hamilton.

Kontrak Lewis Hamilton dijangka tamat pada penghujung 2020 dan namanya seringkali dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Ferrari ketika perlumbaan ditunda susulan pandemik Covid 19.

Dalam pada itu, pemandu Ferrari, Sebastien Vettel dijangka menyambung kontraknya bersama pasukan itu dan ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Pertama, impian untuk berpindah ke pasukan lain tidak benar. Saya sedang bersama pasukan impian.

“Kedua, tidak ada sebarang usaha untuk saya berhijrah. Saya bersama individu yang prihatin sejak hari pertama. Kami adalah pasukan yang terbaik,”kata Hamilton menerusi entri di laman sosialnya. 

Pasukan Mercedes AMG Petronas turut merangkul gelaran pengeluar terbaik sebanyak enam kali dan Lewis Hamilton memasang impian untuk menyamai rekod gelaran juara dunia tujuh kali yang dipegang Michael Schumacher sebaik musim F1 diteruskan.

 

- Advertisement -