Pasukan Sapura Cycling (TSC) terus melakar kejayaan di jelajah Indonesia apabila pelumba muda dalam pembikinan, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff menamatkan saingan di tangga ketiga sekaligus merupakan podium pertamanya dalam perlumbaan profesional.

Aiman menamatkan perlumbaan peringkat kedua dengan catatan masa dua jam 24 minit 17 saat dibelakang pelumba Teregganu Cycling (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin dan pelumba tuan rumah yang beraksi untuk KFC Cyling Abdul Gani.

Bagi pengurus TSC, Sayuti Mohd Zahit kejayaan Aiman pastinya menjadi permulaan yang positif buat pelumba berusia 21 tahun ini untuk terus melakar kejayaan.

“Kejayaan Aiman menaiki podium semalam amat bagus kerana pada usia 21 tahun dia sudah menaiki podium dalam perlumbaan 2.1.

“Ini adalah pertamanya dalam perlumbaan UCI dan kemenangan ini amat penting untuk meningkatkan keyakinan dan mental sebelum menyertai perlumbaan seterusnya,”kata Sayuti  

Malah, Sayuti melihat dominasi pasukan dari Malaysia, Sapura Cycling dan Terengganu Cycling adalah satu petanda positif dan mengharapkan penguasaan ini berterusan sehingga peringkat terakhir.

Selepas tamat dua peringkat perlumbaan semalam, Mohd Shahrul Mat Amin dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff berada dikedudukan kedua dan ketiga dalam senarai kedudukan pelumba.

Shahrul ketinggalan 9 saat dibelakang pendahulu ketika ini, Abdul Gani manakala Aiman dibezakan dengan 12 saat.

Bagi kedudukan pasukan setakat ini, TSG mengungguli carta 15 pasukan yang mengambil bahagian dengan catatan masa 15 jam, 20 minit 3 saat, diikuti TSC yang turut berkongsi catatan masa.

 Peringkat ketiga hari ini, perlumbaan bakal bermula dengan pendakian kategori 4 dan 2 dari Probolingo menuju ke Banyuwangi dengan jarak sejauh 200 km.

“Untuk esok, kami meletakkan sasaran untuk memenangi kedudukan keseluruhan individu, pasukan pelumba terbaik Indonesia (Aiman Cahyadi) dan kemenangan peringkat.

“Saya mahu lihat climber dan lain lain pelumba (Adiq Hussainie Othman, Muhammad Zawawi Azman, Aiman Cahyadi, Mario Vogt dan Jesse Ewart) kerana peringkat ketiga dan keempat adalah laluan untuk mereka,”katanya lagi.OLEH KU MOHD LUFTI 

 

 

- Advertisement -