Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, optimis pasukan bimbingannya bersedia  menghadapi segala cabaran berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, tengah malam ini.

Menyedari aksi itu merupakan kunjungan pertama skuad kebangsaan ke UAE sejak diaibkan dengan kekalahan 0-10 kepada skuad  The Whites itu pada September 2015, Cheng Hoe menyifatkan peristiwa itu tidak memberi kesan kepada pasukan negara ketika ini.

Beliau berkata, mimpi terburuk seluruh peminat bola sepak tanah air itu juga tidak menjadi perbualan dalam kalangan pemain, sebaliknya beliau menggesa anak buahnya percaya pada kemampuan diri dan rakan sepasukan, serta tidak terlalu menghormati pasukan lawan.

“Itu adalah salah satu sejarah yang telah berlalu, sudah tentu kali ini dengan pemain dan situasi berbeza, saya rasa kita mampu menyekat serangan mereka (UAE), dan pada sama yang penting kita kena turun beraksi dengan keyakinan dan beri fokus setiap saat.

“Dalam aksi persahabatan lalu, UAE nampak lebih bersedia dan kita tidak boleh rasa terlalu gemuruh bila berdepan mereka, walaupun mendapat sokongan penyokong dan kelebihan bermain di laman sendiri katanya pada sidang media sesi latihan skuad kebangsaan secara dalam talian di Dubai, UAE, semalam.

 Kekalahan 0-10 kepada UAE di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi dalam kempen kelayakan lepas, menjadi kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan kebangsaan, yang ketika itu dikendalikan Dollah Salleh.

Setelah hampir enam tahun, skuad Harimau Malaya dibimbing Cheng Hoe kini kembali dengan kekuatan berbeza, membawa misi menebus maruah pada pertembungan di Stadium Zabeel, Dubai.

Pengendali berusia 53 tahun itu optimis, serangan UAE dapat dipatahkan jika barisan pertahanan berjaya merantai pergerakan penyerang prolifik Ali Mabkhout, yang mengumpul lima gol dalam dua aksi persahabatan terakhir pasukan menentang India dan Jordan.

“Kalau kita lihat kebanyakkan jaringan Ali (Mabkhout) datang daripada kombinasi dia, terutama dengan pemain naturalisasi terbaharu Fabio Virginio de Lima dan Khalfan Mubarak, yang banyak bagi hantaran kepadanya. Jadi kita harap dapat menyekat hantaran tersebut daripada sampai ke kaki Ali,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata impak segera dapat dilihat dimainkan pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools bersama pasukan, selepas sehari menyertai skuad kebangsaan.

Beliau yakin pemain kelab Denmark FC Midtjylland berusia 24 tahun itu, tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyesuaikan diri bersama barisan pemain dan jurulatih.

“Kita nampak Cools gembira bersama pasukan dan boleh diterima barisan pemain. Impak segera beliau adalah kita nampak melalui personaliti serta karakter beliau dalam padang, walaupun pertama kali turun berlatih bersama pasukan, beliau nampak boleh bergaul dengan semua pemain,” tambah Cheng Hoe.

BERNAMA

- Advertisement -