R.Sharmendran

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan negara gagal meneruskan aksi cemerlang ditunjukkan ketika hari pembukaan apabila sekadar menambah dua pingat emas pada hari kedua Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang sedang berlangsung di Port Dickson.

Malaysia memulakan cabaran pada Sabtu dengan langkah kanan apabila meraih pingat emas pertama menerusi gandingan Ivan Oh, Hoe Thomson dan Emmanuel Leong yang menewaskan Indonesia 4-1 dalam final kata berpasukan lelaki.

Namun ianya Vietnam, pemenang tiga emas pada hari pertama yang mengungguli hari kedua apabila mendominasi disiplin kumite dengan meraih lima daripada tujuh emas dipertandingkan di Pusat Konvensyen dan Resort Primaland.

Anak buah Ku Jin Keat hanya mampu menambah dua pingat perak selepas itu apabila P.Visalni tunduk 0-5 kepada atlet Thailand Khamsi Tippawan sekaligus menidakkan hasrat untuk memenangi acara kumite bawah 55kg.

Manakala pemenang emas Sukan Asia Incheon 2014, Lim Chee Wei tewas 2-3 kepada peserta Indonesia, Zaresta Yuda Ahmad Zigi dalam perlawanan akhir kata individu lelaki.  

Setelah menunggu lama, pingat emas kedua Malaysia hadir menerusi peserta kumite R.Sharmendran yang memenangi acara bawah 75kg – pemenang pingat perak di Sukan Sea Myanmar 2013 itu menewaskan atlet Thailand, Songvut Mungthaen 3-1.

Dengan kutipan lapan emas, empat perak dan 11 gangsa, Malaysia tergelincir ke kedudukan kedua senarai kedudukan pingat tatkala Vietnam mengambil alih kedudukan teratas dengan 10-6-9, diikuti Indonesia (4-7-13) dan Thailand (2-6-4).

- Advertisement -