field_hockey

Oleh Muhammad Aiman

Naib Juara tahun lalu, Selangor melaungkan amaran awal dan memperlihatkan karakter sang juara apabila garang membelasah Kedah 8-0 pada aksi sulung Kumpulan A Divisyen Dua Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Sabtu.

Nazirul Mubin Zebidi membuka tirai jaringan buat Selangor pada minit ke-7 disusuli dua jaringan Faridzul Isa Mohd pada minit ke-16 dan 19 untuk menjadikan kedudukan 3-0, sebelum Amerullah Abd Aziz memastikan Selangor mendahului 4-0 di babak pertama menerusi jaringan pada minit ke-29.

Hasrat Kedah untuk bangkit memberi tentangan lebih bermakna di babak kedua bagaimanapun tidak kesampaian apabila Selangor tidak sedikitpun menunjukkan tanda-tanda mahu mengendurkan momentum.

Skuad S.Velappan menambah empat lagi jaringan menerusi Nazirul Mubin (m-32), pukulan sudut penalti Muhammad Nur Faez Ibrahim (m-51), Ikmal Abd Jabal (m-54) dan gol ketiga Faridzul pada minit ke-56.

Pada perlawanan kedua esok, Selangor akan turun menentang sebuah lagi pasukan dari utara, Perlis yang tunduk kepada Pulau Pinang dalam satu lagi aksi yang menyaksikan 10 gol terhasil.

Pulau Pinang bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan 7-3 ke atas Perlis menerusi tiga jaringan ketua pasukan Izwan Firdaus Tajuddin, dua jaringan Rashid Baharom manakala Rahimi Iskandar dan Izzat Rahim masing-masing menyumbangkan satu gol.

Gol buat Perlis dijaringkan Najmi Farizal Mazlan, Afiq Ishak dan bekas pemain kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Tg Jalil.

Sementara itu dalam aksi Kumpulan B Divisyen Dua, Sabah turut bermula garang apabila membelasah ATM 5-0, terima kasih kepada dua gol jaringan Dodi Musa dan Shello Selverius serta satu gol oleh Maxhans Christi.

Aksi antara Kelantan dan Sarawak pula menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata setelah menamatkan permainan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Sabah akan bertemu jiran Borneo Sarawak manakala Kelantan bertemu ATM dalam perlawanan kedua pada Ahad.  

- Advertisement -