singmas-1

Oleh Ku Mohd Lufti

Pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memberi bayangan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Afghanistan menjadi medan terakhir untuk pemilihan pemain sebelum mengharungi aksi Piala AFF Suzuki 2016.

Selepas tamat aksi perlawanan persahabatan antarabangsa denga Singapura dan Afghanistan, Datuk Ong Kim Swee akan menyenaraikan 25 pemain yang akan dibawa untuk latihan pusat seterusnya pada bulan depan.

“Saya perlu membina kombinasi baharu, beri mereka peluang untuk menarik perhatian saya dan pastikan mereka tahu apa yang saya mahukan daripada mereka sebagai satu pasukan.

“Maka ini merupakan tempoh terakhir bagi pemain untuk membuktikan kemampuan mereka,” kata Kim Swee.

Lima muka baharu dibawa Datuk Ong Kim Swee ke dalam skuad kebangsaan, Mohd Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Mohd Ghazali dari Kedah, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United) serta Ahmad Khuzaimi Pee (Melaka).

Perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea pada 14 November akan menjadi aksi terakhir sebelum senarai 23 pemain dimuktamadkan.

Tambah Kim Swee, beliau mahukan kemenangan dalam misi memperbaiki ranking Malaysia.

Saingan Piala AFF akan berlangsung dari 19 November hingga 17 DIsember depan dan Malaysia berada di dalam kumpulan B bersama sama Myanmar, Vietnam dan pemenang pusingan kelayakan.

- Advertisement -