Selangor FC mengumumkan pemain pertama baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila menamakan penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri sebagai pemain terbaru Gergasi Merah.

Shahrel yang sebelum ini mempunyai rekod yang cemerlang di bahagian serangan pasukan The Bos Gaurus bakal digandingkan dengan pemenang anugerah kasut emas musim 2020, Ifedayo Olusegun dan penjaring gol terbanyak Liga Premier 2020, Ahmad Danial Asri.

Penghijrahan ini juga menyaksikan beliau bakal bergandingan dengan dua lagi bekas pemain Perak; Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan yang baru pulih dari kecederaan dan dinilai bakal kembali ke pasukan utama menjelang awal musim hadapan.

Terkenal dengan panggilan “Eky” dalam kalangan pemerhati bola sepak Malaysia, Shahrel dinobatkan sebagai salah seorang penyerang tempatan terbaik setelah berjaya meledak 10 gol dari 10 perlawanan untuk musim lalu.

Manakala rekod bersama pasukan kebangsaan pula, beliau sering disenaraikan dalam kesebelasan utama dan diberi kepercayaan oleh pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk mengemudi barisan serangan bersama Syafiq Ahmad dan Mohamadou Sumareh.

Pemain yang bakal berusia 27 tahun pada musim hadapan ini juga telah melakukan 14 penampilan dan menjaringkan lima gol setakat ini untuk skuad kebangsaan.

Beliau membuat penampilan pertama untuk skuad Harimau Malaya sewaktu menentang pasukan Syria dan menjaringkan gol pertama di peringkat kebangsaan ketika menentang pasukan Kemboja pada tahun 2018.

Selain bermain untuk pasukan bola sepak tempatan seperti PKNP dan Perak, Shahrel juga pernah beraksi untuk kelab Thailand, Nakhon Ratchasima sebagai pemain pinjaman selama semusim.

Menurut Ketua Pengawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, penyertaan Shahrel Fikri ke pasukan Gergasi Merah adalah berita yang sangat mengujakan buat barisan kejurulatihan Selangor.

“Eky (Shahrel) adalah salah seorang pemain yang berbakat besar. Kita sudah lama memerhati dan mengikuti perkembangan Eky sebagai pemain Perak dan pemain kebangsaan. Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, Coach Michael (Feichtenbeiner) dan Coach Karsten (Neitzel) sangat gembira kerana Selangor FC telah berjaya mendapatkan Shahrel sebagai pemain utama dan pemain ‘marquee’ kita untuk musim akan datang,” jelas Dr. Johan.

“Eky sudah membuktikan keupayaan dan ketajaman beliau mencabar pemain asing dalam menjaringkan gol pada musim lalu. Di sini, kami percaya bahawa Eky boleh menjadi pemain yang lebih baik dari prestasi semasa beliau dan mampu untuk naik ke tahap yang lebih baik, selain menjadi pemain penyerang penting untuk membawa lebih banyak kemenangan bagi pasukan Selangor dan juga skuad kebangsaan,” tambahnya.

Bercakap kepada media Selangor FC, Shahrel Fikri turut menyatakan keterujaan beliau untuk menyertai Gergasi Merah.

“Saya berterima kasih kepada penyokong dan pengurusan pasukan Perak atas segalanya. Menyertai Selangor akan membuka lembaran baru dalam karier saya dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu saya bersama pasukan Gergasi Merah,” jelas Shahrel.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC, terutamanya kepada Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam.”

 

- Advertisement -